PUTRAJAYA, 6 OKT – Malaysia dan Pakistan menggesa masyarakat antarabangsa mengambil tindakan konkrit bagi menghentikan penderitaan berpanjangan rakyat Palestin di Gaza.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata penderitaan yang berlarutan sejak sekian lama ke atas rakyat Palestin menuntut komitmen masyarakat antarabangsa, di mana bukan sekadar kenyataan simpati semata-mata.
“Bersama-sama kita menegaskan bahawa mesti ada tindakan yang konkrit untuk menamatkan penderitaan berjuta-juta penduduk Gaza dan Palestin,” katanya pada sidang akhbar bersama di sini hari ini.
Justeru, kedua-dua negara menegaskan keperluan mendesak untuk menghentikan operasi ketenteraan serta memulihkan akses bantuan kemanusiaan ke wilayah itu tanpa sebarang halangan.
Beliau menyambut baik, inisiatif pelan damai 20 perkara yang dicadangkan Amerika Syarikat bagi menamatkan konflik Israel-Palestin, namun menegaskan terdapat beberapa perkara yang masih perlu diperhalusi.
“Saya amat menghargai usaha dan kenyataan terkini Perdana Menteri Pakistan, Muhammad Shehbaz Sharif khususnya dalam isu Palestin dan Gaza.
Bagaimanapun, kata Anwar, penghentian segera serangan dan pembunuhan oleh rejim Zionis perlu menjadi keputusan bersama dunia Arab dan negara Islam.
“Malaysia mengalu-alukan sebarang usaha ke arah keamanan, tetapi apa yang lebih penting ialah pelaksanaannya mesti adil dan menghormati hak rakyat Palestin,” katanya.
Menurutnya, kebanyakan negara di dunia termasuk dengan sokongan dan komitmen Amerika Syarikat diyakini akan dapat membantu merealisasikan keamanan yang diidamkan rakyat Palestin.
“Sekurang-kurangnya apabila pengeboman dan pembunuhan dihentikan oleh rejim Zionis di Gaza, itu satu keputusan yang mesti dibuat secara kolektif oleh negara-negara Arab dan Islam,” katanya.
Anwar turut menegaskan bahawa komitmen bersama komuniti antarabangsa amat penting untuk memastikan keamanan yang berkekalan dan penyelesaian adil bagi rakyat Palestin.
Terdahulu, Muhammad Shehbaz diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra hari ini sempena lawatan rasmi tiga hari pemimpin itu ke Malaysia. -airtimes.my
#Airtimes #Malaysia #Pakistan #Gaza #Palestin
