KUALA LUMPUR, 4 OKT – Peneraju sektor perkhidmatan penerbangan helikopter tempatan, Kumpulan Weststar menerima komitmen pembiayaan sebanyak RM1.3 bilion daripada MBSB Bank bagi menyokong operasi perniagaan. Pinjaman ini adalah sebahagian daripada kemudahan pembiayaan bersepadu berjumlah RM4.8 bilion bagi menyokong rancangan pengembangan kumpulan tersebut dalam sektor perkhidmatan penerbangan.
Pembiayaan ini adalah hasil kerjasama bersama beberapa institusi kewangan utama negara termasuk AmBank, Maybank, Bank Rakyat, dan Bank Pembangunan. Ia bagi tujuan pembelian 28 buah helikopter baharu serta pelaksanaan pelan pengembangan strategik Weststar.
Dengan pengambilalihan ini, jumlah keseluruhan aset helikopter Weststar akan meningkat kepada 63 buah, sekali gus mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai peneraju dalam perkhidmatan penerbangan helikopter di rantau ini.
Pembiayaan ini juga akan digunakan untuk menyokong pelaksanaan kontrak jangka panjang selama 15 tahun yang diperoleh oleh Weststar Aviation Services pada akhir 2024. Kontrak itu melibatkan penyewaan helikopter Leonardo kepada Angkatan Tentera Malaysia dan agensi-agensi kerajaan terpilih.
Ia termasuk komponen penyelenggaraan dan latihan bagi memperkukuh kesiapsiagaan pertahanan, keselamatan, serta keupayaan tindak balas kecemasan negara. Kerajaan akan menyewa helikopter ini melalui kaedah Government Operate Company Own and Maintain (GOCOM) melalui Weststar Aviation Services.
Kontrak ini membolehkan aset-aset ini diperolehi lebih cepat berbanding kaedah pembelian biasa, dan akan digunakan untuk kegunaan Kementerian, tentera dan agensi kerajaan. Kerjasama strategik ini dijangka memberi impak positif terhadap pembangunan sektor penerbangan negara serta menyokong agenda pertahanan dan keselamatan nasional.
Difahamkan, bagi menyokong perolehan tersebut pihak Westar turut merancang pembangunan hab MRO di Lapangan Terbang Batu Berendam, Melaka serta pusat latihan untuk juruterbang helikopter. Terdahulu, majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara MBSB dan Weststar telah diadakan di Weststar Aviation Services, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.
Ia dihadiri Pengarah Urusan Kumpulan Weststar, Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim dan Pengerusi MBSB Bank, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad. – airtimes.my
