PUTRAJAYA, 4 OKT – Malaysia telah memuktamadkan penyertaannya dalam Convention on Registration of Objects Launched into Outer Space (REG 1975) Dibawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Perkara tersebut disahkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini.
Menurut MOSTI, penyerahan instrumen tersebut dilakukan oleh Menteri Luar, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan, kepada Timbalan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Hal Ehwal Undang-Undang dan Penasihat Undang-Undang PBB, Elinor Jane Britt Hammarskjöld dalam satu majlis rasmi di Ibu Pejabat PBB, New York pada akhir September lalu.
MOSTI menjelaskan bahawa penyertaan ini adalah langkah penting bagi memperkukuh tadbir urus angkasa lepas Malaysia, khususnya berkaitan pendaftaran objek angkasa, keselamatan operasi satelit dan ketelusan aktiviti angkasa untuk tujuan aman. Langkah ini juga selaras dengan pelaksanaan Akta Lembaga Angkasa Malaysia 2022 [Akta 834] dan Dasar Angkasa Negara 2030.
Konvensyen REG 1975 mewajibkan negara peserta mendaftar objek yang dilancarkan ke orbit serta memaklumkan maklumat asas tentang objek bagi tujuan ketelusan dan keselamatan operasi angkasa. Pendaftaran tersebut dijalankan di peringkat PBB melalui deposit instrumen dan notifikasi kepada pemegang depositari.
Dari sudut pelaksanaan dalam negara, Akta Lembaga Angkasa Malaysia 2022 [Akta 834] menyediakan rangka undang-undang untuk pendaftaran objek angkasa, kawal selia operator serta mekanisme penguatkuasaan yang diperlukan bagi memenuhi kewajipan antarabangsa dan memastikan kelestarian aktiviti angkasa negara.
Penyertaan Malaysia dalam REG 1975 memperkukuh keselamatan serta ketelusan antarabangsa kerana setiap objek angkasa milik negara akan direkod dan diselia secara rasmi. Ini membantu mengurangkan risiko pertikaian antara negara serta meningkatkan kerjasama dalam pemantauan aktiviti di orbit.
Langkah ini turut memperkukuh kedaulatan teknologi dan data angkasa negara. Melalui pendaftaran rasmi, Malaysia berupaya mengenal pasti serta melindungi aset angkasanya di bawah undang-undang antarabangsa. Pendekatan ini juga memperkukuh dasar perlindungan data satelit serta hak ke atas maklumat yang dihasilkan daripada misi angkasa.
Dari aspek undang-undang dan diplomasi, penyertaan ini memberikan Malaysia mekanisme jelas untuk menangani sebarang isu atau pertikaian melibatkan objek angkasa. Ia sekaligus meningkatkan keupayaan negara berunding dalam forum antarabangsa serta memperkukuh kerjasama teknikal di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Selain itu, konvensyen ini membuka peluang kepada pembangunan ekonomi angkasa tempatan melalui peningkatan kepercayaan pelabur antarabangsa terhadap dasar kawal selia negara. Ia turut merangsang pertumbuhan industri berkaitan seperti pengurusan data satelit, teknologi orbit rendah dan perkhidmatan sokongan angkasa.
Penyertaan ini turut dilihat menyokong aspirasi Dasar Angkasa Negara 2030 dan prinsip Malaysia MADANI. Kerajaan menegaskan bahawa setiap langkah pembangunan teknologi angkasa harus memberi manfaat langsung kepada rakyat serta menyumbang kepada kemajuan ekonomi dan sains negara secara mampan.
Dengan pengesahan penyertaan ini, kerajaan dijangka memperkemas mekanisme pendaftaran nasional serta prosedur pemberitahuan kepada PBB bagi setiap objek yang dilancarkan oleh entiti Malaysia atau yang berada di bawah tanggungjawab negara. Konvensyen tersebut menetapkan format dan keperluan maklumat yang perlu dihantar kepada pemegang depositari antarabangsa.
MOSTI menegaskan bahawa tindakan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan Malaysia untuk mematuhi kerangka undang-undang antarabangsa serta mengukuhkan daya saing sektor angkasa tempatan. Pelaksanaan Akta 834 dan dasar berkaitan dijangka menjadi tunjang utama kepada pentadbiran serta kawal selia industri angkasa negara. – airtimes.my
