Dalam Kertas Putih Pertahanan (KPP) telah disebut pembangunan sistem pertahanan udara menjadi salah satu tumpuan pada Lima Hala Tuju Strategik Kementerian Pertahanan (Mindef). Ia menekankan kepada rancangan perolehan sistem pertahanan udara aras sederhana (medium range atau disebut Merad) dan meriam artileri pertahanan udara. Ini satu perkara yang sangat dinanti-nantikan.
Bagaimana pun, sehinggalah perkara tersebut menjadi kenyataan ATM harus bersandarkan pada keupayaan sistem pertahanan udara di darat sedia ada.
Tidak bertujuan untuk membandingkan antara negara dengan negara di rantau ini, realitinya kehendak ATM untuk memiliki sistem pertahanan udara di darat yang paling baik dibiarkan tertangguh sekian lama. ATM sering diikat dengan isu peruntukan pertahanan yang terhad menyebabkan cadangan untuk membeli sistem pertahanan udara misil generasi moden masih tinggal di atas kertas.
Kekurangan ini menyebabkan struktur pertahanan kita mempunyai titik lemah pada penilaian pihak ketiga.
Selain kos pembelian, penyelenggaraan dan latihan juga memerlukan peruntukan yang besar. Kepentingan sistem pertahanan udara dalam berdepan ancaman peperangan moden hari ini tidak dapat dinafikan. Mempunyai pertahanan udara yang baik berupaya payung perlindungan udara.
Dalam konteks tentera negara-negara ASEAN, masing-masing dilihat berlumba-lumba memperkukuh keselamatan dan pertahanan udara menerusi perolehan yang bersesuaian terutamanya sistem misil.
Dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini, beberapa negara serantau membangunkan sistem pertahanan udara misil sebagai sebahagian daripada strategi pertahanan nasional.
Negara seperti Vietnam, Singapura, Indonesia dan Thailand telah memperkenalkan sistem pertahanan udara yang canggih, manakala Filipina yang sebelum ini ketinggalan mula bangkit.
Singapura telah menjadi salah satu negara yang paling maju dari segi sistem pertahanan udara dengan penggunaan sistem seperti MBDA/SAMP-T dan SPYDER, serta pelaburan dalam teknologi pertahanan udara yang lebih canggih seperti Aster. Singapura contoh negara yang mempunyai sistem pertahanan udara berlapis yang baik.
Thailand turut mengembangkan keupayaan pertahanan udara mereka dengan membeli sistem seperti HQ-9 (China) dan SPYDER (Rafael) serta RBS-70.
Filipina menjadi pengguna baharu sistem SPYDER dari Rafael, lantas dilihat semakin memberi perhatian kepada sistem pertahanan udara sebagai respons terhadap ketegangan geopolitik dan ancaman keselamatan yang lebih besar. Negara tersebut memerlukan sistem yang mampu bertindak balas dengan cepat dan tepat terhadap pelbagai jenis ancaman dari udara.
Perolehan tiga negara ini menjadikan SPYDER sebagai antara sistem GBAD yang berjaya memikat pengguna di rantau Asia-Pasifik.
Sepanjang dekad lalu pula, kecenderungan negara-negara ASEAN memilih sistem pertahanan udara tertumpu pada dua blok utama iaitu dari Rusia (Eropah Timur) atau negara-negara Barat.
Rusia merupakan pembekal utama sistem pertahanan udara di rantau ini bermula semasa era Perang Dingin terutamanya kepada negara-negara Indo China.
Sebagai contoh, Vietnam mempunyai kemampuan pertahanan udara yang digeruni semasa Perang Vietnam dibekalkan oleh Soviet untuk menangkis serangan-serangan udara Amerika Syarikat.
Keupayaan pasukan artileri pertahanan udara Vietnam mengaplikasikan strategi pertahanan udara moden tetapi disesuaikan dengan muka bumi tropika telah mencipta taktik baharu.
Hari ini, kekuatan pertahanan udara Vietnam menonjol apabila mengoperasikan sistem S-300 untuk mempertahankan wilayah udara mereka dari ancaman peluru berpandu dan pesawat. Meskipun banyak negara berminat untuk memperkuat pertahanan udara mereka, terdapat beberapa kekangan dalam pembelian dan pengoperasian sistem pertahanan udara canggih.
Situasi ini sebaliknya memberi pilihan alternatif kepada sumber dari negara ketiga iaitu China terutama sistem yang berteknologi tinggi.
Teknologi China telah menarik perhatian yang mana sistem pertahanan udara di darat buatan negara kuasa Asia Timur itu menjadi pilihan. Sebagai contoh, sistem KS-1 dibeli Thailand, Kemboja dan Myanmar mengikut varian berbeza.
Malaysia sepatutnya menjadi negara pengguna pertama KS-1A apabila secara prinsipnya bersetuju untuk membeli sistem persenjataan ini pada tahun 2004, malah telah memeterai Surat Niat.
Perolehan mendapatkan sistem Merad ini adalah sebahagian daripada rancangan pemodenan ATM menerusi Rancangan Malaysia Kesembilan (2006-2009).
Malangnya, rancangan tinggal rancangan apabila perolehan ini tertangguh dan tidak diteruskan.
Kali ini, negara tidak boleh ketinggalan. – airtimes.my
