Sistem persenjataan tradisional kini semakin terpinggir dalam lanskap peperangan moden yang ditentukan oleh kelajuan, ketepatan dan kelebihan teknologi. Medan tempur hari ini bukan lagi sekadar soal kekuatan letupan, tetapi siapa yang terlebih dahulu melihat, menyasarkan dan menghentam dengan tepat.
Dalam konteks ini, sistem pelancar roket HIMARS atau High Mobility Artillery Rocket System muncul sebagai pemangkin utama keupayaan artileri Amerika Syarikat (AS) di medan tempur moden. Direka untuk bergerak pantas, melancarkan serangan dari jarak jauh dan mengelak dari dikesan balas, HIMARS telah membuktikan nilainya dalam pelbagai teater konflik, termasuk di Timur Tengah dan Eropah Timur.
Sistem ini diasaskan oleh syarikat Lockheed Martin dan dipasang pada kenderaan taktikal roda enam. Ia memberikan keupayaan mobiliti yang tinggi dalam pelbagai bentuk medan, daripada padang pasir hingga ke kawasan hutan. Setiap unit HIMARS membawa satu pod pelancar yang boleh memuatkan enam peluru berpandu GMLRS atau satu peluru berpandu taktikal ATACMS, bergantung kepada jenis misi yang dijalankan.

Kenderaan taktikal roda enam yang membawa sistem pelancar HIMARS. FOTO: Airtimes/Zulhaizi
GMLRS atau Guided Multiple Launch Rocket System merupakan tulang belakang utama kepada tembakan tepat HIMARS. Dengan jangkauan antara 70 hingga 90 kilometer dan dilengkapi sistem panduan GPS, peluru ini mampu menghentam sasaran dengan ketepatan luar biasa. Margin kesilapan hanya beberapa meter sahaja menjadikannya sesuai untuk menyerang kemudahan logistik, depot peluru dan pusat kawalan musuh.
Dalam variasi tertentu, GMLRS hadir dengan kepala peledak unitari bagi menghancurkan sasaran keras atau submunisi untuk kawasan yang luas. Fleksibiliti ini memberikan kelebihan taktikal terutama dalam operasi urban yang memerlukan pemilihan jenis peluru bergantung kepada ancaman atau persekitaran.
Lebih jauh daripada itu, HIMARS juga boleh melancarkan peluru berpandu taktikal ATACMS yang direka untuk serangan jarak sehingga 300 kilometer. ATACMS memberi dimensi strategik kepada sistem ini kerana ia membolehkan tentera menyerang jauh ke dalam kawasan musuh tanpa perlu mendekati barisan hadapan.

Peluru berpandu yang dilancarkan daripada sistem pelancar HIMARS. FOTO: Airtimes/Zulhaizi
Kesan penggunaan HIMARS paling ketara dapat dilihat di Ukraine, di mana sistem ini telah mengubah landskap pertempuran dalam masa singkat. Sejak mula digunakan oleh Kyiv pada pertengahan 2022, HIMARS telah memusnahkan sasaran strategik seperti jambatan logistik, depot amunisi dan pusat komunikasi Rusia.
Ketepatan dan keupayaan tembak-lari sistem ini memaksa tentera Rusia menyusun semula kedudukan logistik dan pertahanan di bahagian belakang, sekaligus melemahkan kekuatan mereka di hadapan.
Amerika Syarikat kini sedang melangkah lebih jauh dengan pembangunan Precision Strike Missile atau PrSM, yang dijangka menggantikan ATACMS dalam masa terdekat. PrSM menjanjikan jarak tembakan melebihi 500 kilometer dengan saiz yang lebih kecil serta keupayaan untuk dimuatkan dua dalam satu pod pelancar. Ini bakal melonjakkan lagi kapasiti tembakan jarak jauh HIMARS tanpa menambah saiz atau berat sistem.

Precision Strike Missile (PrSM) yang dilancarkan daripada sistem pelancar HIMARS. FOTO:
Lockheed Martin
Namun, keunggulan HIMARS tidak bergantung semata-mata kepada pelurunya. Ia turut menuntut sistem sokongan yang kukuh seperti risikan masa nyata, koordinasi antara unit serta latihan mendalam kepada pengendali. Tanpa ekosistem peperangan bersepadu, kelebihan teknologi ini mudah menjadi terhad.
Kehadiran HIMARS juga membawa impak geopolitik yang tidak kecil. Penempatan sistem ini kepada sekutu seperti Ukraine dan negara anggota NATO memberi mesej strategik bahawa Amerika Syarikat bersedia untuk menyeimbangkan kekuatan ketenteraan global. Ia bukan sekadar alat peperangan, tetapi simbol komitmen Washington terhadap keselamatan sekutu dan usaha mengekang pengaruh kuasa besar pesaing.
HIMARS telah membuktikan bahawa dalam peperangan moden, kuasa api sahaja tidak mencukupi. Apa yang diperlukan ialah sistem yang boleh bergerak pantas, menembak tepat dan beradaptasi dalam pelbagai situasi operasi. Dalam dunia yang semakin tidak menentu, sistem seperti HIMARS bakal terus menjadi komponen utama dalam mana-mana doktrin pertahanan yang mahu kekal relevan di medan perang masa kini dan akan datang. – airtimes.my
#AirTimes #HIMARS #AS #ArtileriModen #GMLRS #ATACMS #PrSM #TeknologiKetenteraan
