KUALA LUMPUR, 11 Ogos – “Saya dah agak dah jawapan itu… tunggu keputusan mahkamah,” tegas Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khlir Mohd Nor di Dewan Rakyat, hari ini.
Khlir berkata, jawapan yang diberikan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berhubung isu pelarasan pencen veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bersara sebelum 1 Januari 2013, adalah seperti yang telah beliau jangkakan.
Beliau sebelum itu ingin mengetahui mengapa Kementerian Pertahanan (MINDEF) tidak membawa isu tersebut untuk dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT).
Tegasnya, soalan yang dibawakan ini mewakili 86,933 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sudah bersara dan menuntut pencen.
“Saya dah agak memang tepat jangkaan saya itu,
“Saya dah beritahu mereka di seluruh Malaysia, dengar apa jawapan yang akan diberikan oleh menteri,” tegasnya.
Adly Zahari ketika menjawab soalan itu berkata, isu pelarasan pencen berkenaan telah diputuskan Mahkamah Rayuan pada 4 Jun lalu, yang membenarkan rayuan kerajaan dan tiga pihak lain.
Menurutnya, pihak responden telah memfailkan dan menyerahkan memorandum serta rekod rayuan kepada Mahkamah Persekutuan pada 4 Julai lalu.
“Tan Sri Yang di-Pertua berdasarkan Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat Perkara 23(1)(g), suatu pertanyaan itu tidak boleh dikarangkan cakapnya sekira-kira harus melencongkan perkara yang sedang dibicarakan oleh mahkamah dan tidak boleh ditanya berkenaan dengan apa-apa perkara yang dalam pertimbangan mahkamah,
“Berdasarkan peraturan tersebut juga, saya mohon supaya Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk mempertimbangkan sebarang bentuk soalan berkaitan perkara itu selagi proses mahkamah sedang berlangsung,” ujarnya.
Dalam masa yang sama, Adly turut menegaskan MINDEF dan kerajaan sentiasa berusaha dan memberi keutamaan terhadap agenda pemerkasaan serta kesejahteraan veteran ATM.
Tambahnya keutamaan tetap diberikan kepada semua veteran sama ada berpencen mahupun tidak supaya dapat menikmati kehidupan selesa pada masa kini dan juga akan datang. -airtimes.my
#pertahanan #airtimes #Malaysia #ATM #pelarasanpencen
