Dalam landskap keselamatan global yang semakin kompleks, Amerika Syarikat terus memperkemas keupayaan serangannya dengan menghasilkan varian terbaharu dalam keluarga senjata nuklear taktikalnya iaitu B61-13.
Dikenali sebagai evolusi daripada B61-7, bom ini menandakan anjakan penting dalam strategi nuklear Amerika untuk abad ke-21, menyatukan kuasa letupan tinggi dengan ketepatan moden dan keupayaan menembusi sasaran terlindung.
Bom B61-13 bukan sahaja melambangkan peningkatan teknologi tetapi juga merupakan mesej strategik kepada kuasa-kuasa besar dunia lain terutama dalam konteks ketegangan yang semakin memuncak dengan Rusia dan China.
Dalam era di mana kebanyakan senjata direka untuk minimakan kerosakan kolateral, kemunculan bom nuklear berkuasa besar semula menjadi tanda soal besar terhadap pendekatan keselamatan global Amerika.
Dibina untuk menghancurkan sasaran terlindung
Menurut Jabatan Pertahanan AS, B61-13 akan menggantikan sejumlah stok lama B61-7 yang telah berkhidmat sejak era Perang Dingin.
Namun berbeza dengan varian baharu lain seperti B61-12 yang lebih ringan dan bersifat serba guna, B61-13 memiliki kuasa letupan sekitar 360 kilotan, hampir 24 kali lebih dahsyat daripada bom atom yang digugurkan di Hiroshima.

Pesawat pengebom halimunan B-2 Spirit mampu membawa dua bom B61-13 dan menyusup jauh ke dalam wilayah musuh tanpa dikesan radar, menjadikannya platform utama dalam misi nuklear strategik Amerika. Foto: USAF. 509th Bomb Wing
Apa yang menjadikan B61-13 lebih membimbangkan ialah keserasiannya dengan pesawat moden seperti pengebom strategik B-2 Spirit dan kelak, B-21 Raider.
Ini membolehkan senjata tersebut digunakan dalam operasi ketenteraan yang menjangkau jauh ke dalam wilayah musuh dengan ketepatan tinggi dan risiko yang lebih rendah kepada aset Amerika.
Bom ini juga direka untuk menembusi kubu bawah tanah termasuk pusat kawalan ketenteraan dan kemudahan peluru berpandu yang dilindungi menjadikannya senjata pemusnah sasaran strategik berprofil tinggi.
Pesawat pemusnah senyap generasi baharu
Ketika B61-13 mula memasuki senarai senjata baharu Amerika, tumpuan turut diberikan kepada pesawat udara yang mengusungnya, B-2 Spirit.
B-2 Spirit ialah pengebom berteknologi halimunan generasi keempat, kekal sebagai pesawat utama bagi misi serangan nuklear berprofil tinggi.
Dengan keupayaan untuk menembusi ruang udara musuh tanpa dikesan radar konvensional, B-2 mampu membawa dua bom B61 dalam setiap misi dan beroperasi dari pangkalan udara strategik seluruh dunia.
Namun masa depan B61-13 lebih tertumpu kepada B-21 Raider, pengebom generasi kelima yang sedang dibangunkan oleh Northrop Grumman.

B-21 Raider muncul sebagai pengebom masa depan Amerika, direka untuk menyusup jauh ke wilayah musuh sambil membawa bom nuklear seperti B61-13 tanpa dikesan. Foto: Giancarlo Casem. 412th Test Wing
B-21 dijangka menggantikan B-2 secara berperingkat dan membawa teknologi lebih maju termasuk integrasi sistem kawalan misi pintar, kemampuan rangkaian masa nyata serta tahap halimunan yang lebih tinggi, dan direka khas untuk membawa peluru berpandu atau bom nuklear termasuk B61-13 dalam operasi ketenteraan jarak jauh melintasi benua.
Penggunaan pesawat-pesawat ini menandakan bahawa bom nuklear kini bukan lagi sekadar senjata untuk tujuan menakutkan musuh, sebaliknya satu komponen aktif dalam doktrin serangan strategik Amerika yang disokong oleh aset udara paling canggih di dunia.
Keseimbangan kuasa atau ancaman baharu
Kelahiran semula senjata nuklear berkuasa besar seperti ini membuka semula perdebatan lama sama ada Amerika benar-benar bersedia menggunakan bom nuklear dalam peperangan moden atau adakah ini sekadar langkah psikologi untuk mengekang tindakan agresif musuh.
Pentagon menegaskan bahawa pengenalan B61-13 tidak meningkatkan jumlah keseluruhan senjata nuklear Amerika sebaliknya menggantikan sistem lama bagi memastikan kredibiliti pencegahan kekal tinggi.

Bersama B-2 Spirit atau B-21 Raider, bom B61-13 menjadi gabungan maut antara kuasa nuklear dan senyap di ruang udara musuh. Foto: Air Force Nuclear Weapons Center
Namun dalam konteks geopolitik semasa mesejnya jauh lebih besar, kerana Rusia sejak kebelakangan ini meningkatkan retorik nuklear dalam konflik Ukraine dan China pula terus menambah simpanan senjata nuklear secara senyap tetapi konsisten.
Dalam senario ini Washington nampaknya berpegang kepada prinsip bahawa pencegahan yang boleh dipercayai memerlukan keupayaan yang meyakinkan.
Perlumbaan senjata dalam era baharu
Pemerhati antarabangsa turut menyuarakan kebimbangan bahawa pembangunan senjata seperti B61-13 boleh mencetuskan perlumbaan senjata nuklear baharu.
Ketika dunia berusaha mengukuhkan kawalan senjata dan mencegah proliferasi kehadiran sistem berkuasa seperti ini dilihat bertentangan dengan semangat perjanjian kawalan senjata seperti Perjanjian Non-Proliferasi Nuklear NPT.

Dengan kuasa letupan hampir 24 kali lebih kuat daripada bom Hiroshima, B61-13 menjadikan keupayaan nuklear Amerika bukan hanya kekal relevan, tetapi semakin sukar ditandingi. Foto X: U.S. Department of Nuclear
Bagi sesetengah pihak langkah Amerika ini hanyalah reaksi terhadap perubahan landskap ancaman global.
Tetapi bagi yang lain ia adalah isyarat bahawa dunia mungkin kembali ke zaman di mana senjata pemusnah besar-besaran bukan lagi pilihan terakhir sebaliknya satu lagi alat dalam senarai opsyen ketenteraan.
Kuasa mutlak dalam bentuk moden
B61-13 bukan sekadar bom melainkan peringatan bahawa strategi pertahanan nuklear tidak pernah benar-benar pudar walau sekuat mana usaha diplomasi dan rundingan antarabangsa.
Dalam dunia yang penuh ketidaktentuan negara-negara besar masih percaya bahawa kuasa mutlak datang bersama kebolehan untuk memusnahkan dan keupayaan itu kini dibentuk semula dalam bentuk bom moden yang bersedia digunakan bila-bila masa.-airtimes.my
#AirTimes #B6113 #BomNuklear #B2Spirit #B21Raider #AmerikaSyarikat #Rusia #China #PertahananModen