Home Semasa“Pulangkan adik saya” – Rayu keluarga mangsa pemerdagangan manusia di Kemboja

“Pulangkan adik saya” – Rayu keluarga mangsa pemerdagangan manusia di Kemboja

by Suraya Aziz
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 16 MEI – “Saya tak nak ada masalah dengan sesiapa. Saya cuma nak adik balik dalam kadar segera. Tolonglah, ayah kami dah tua.”

Demikian rayuan Meena, 30, kakak kepada seorang wanita Malaysia berusia 22 tahun yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia dan dipaksa bekerja sebagai scammer di Phnom Penh, Kemboja.

Meena mendakwa adiknya yang sebelum ini bekerja membaiki telefon di Klang telah terbang ke Phnom Penh pada 6 Februari lalu bersama seorang rakan yang disyaki sebagai ejen sindiket, kononnya untuk bercuti. Namun, sehingga kini adiknya masih belum pulang.

“Masa adik saya pergi sana, dia tak bagitahu pun dia pergi sana dengan siapa. Tapi saya nampak dia pergi dengan kawan dia. Saya kenal kawan dia sebab mereka satu sekolah. Saya tak nak ada kaitan dan sebut nama kawan dia. Tapi saya nak adik saya balik dengan keadaan segera, 

“Awalnya adik kata pergi bercuti tetapi lepas tiga hari adik hubungi saya semula untuk maklum dia dipaksa bekerja di sana,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), hari ini.

Meena berkata, sejak berada disana, adiknya menghubunginya setiap hari dan mengadu terlampau penat kerana tidak diberikan makan atau tidur. Malah, adiknya sentiasa berada dalam ketakutan memandangkan dikawal sindiket setiap masa.

“Adik saya cakap dia penat sangat, tak tidur, dia lapar. Dia nak makan tapi tak dapat. Tapi dia cakap memang tak diberi makan. Dia cuma mampu berikan bayangan lokasi dia berhampiran sebuah hospital bernama Bethune Cambodia China First Hospital di Phnom Penh,

“Saya ada minta mereka pulangkan adik saya. Tapi katanya adik saya berhutang jadi mereka kena tahan dia di sana. Mereka juga minta saya tarik semula laporan polis yang dibuat pada 24 April lalu. Tapi saya tak nak, saya hanya nak adik saya balik,”  tambahnya.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hisyamuddin Hashim (Foto: AirTimes/Zulhaizi)

Mengulas lanjut,  Setiausaha Agung MHO, Datuk Hisyamuddin Hashim berkata, mangsa dipercayai telah direkrut oleh ejen wanita yang pernah ditahan pihak berkuasa di Macau kerana terlibat dalam sindiket penipuan atas talian.

Tegasnya, wanita tersebut dipercayai aktif merekrut anak muda tempatan untuk dihantar ke luar negara sebagai sebahagian dari operasi sindiket.

“Awalnya adik dia ni menceritakan bahawa dia nak pergi melancong, jadi kakak dia ni pun percayalah nak pergi melancong. Dia bawa pasport. Dia nak pergi melancong ke luar negara tetapi setelah sampai di Phnom Penh, tiga hari kemudian baru kakak dia tahu dia telah dipaksa untuk bekerja sebagai scammer di satu tempat di Phnom Penh.

“Adik kepada pengadu dan seorang lagi lelaki yang dianggap adik angkat turut dibawa ke Phnom Penh atas alasan sama,” katanya.

Sementara itu, beliau menegaskan, ramai mangsa lain turut terperangkap dalam situasi sama, namun gagal dibantu kerana kelicikan sindiket yang menyembunyikan aktiviti haram mereka di sebalik alasan kontrak pekerjaan dan hutang palsu.

“Apabila pihak polis pergi ke (menyerbu) scam center ataupun premis sindiket ni, mereka akan kata, semua (mangsa) ini bekerja dengan baik dan dia tak boleh lepaskan disebabkan ada perjanjian kontrak dan ada hutang yang tak dibayar.

“Ini bukan isu buruh, ini isu pemerdagangan manusia. Naratif kononnya mereka bekerja secara sukarela atau berhutang adalah helah sindiket untuk mengekalkan mangsa. Jika ada perjanjian, ia dibuat atas dasar paksaan. Ia tidak sah,” katanya.

Sehubungan itu, MHO merayu agar pihak berwajib termasuk ASEANAPOL dan Kedutaan Malaysia di Kemboja segera bertindak secara menyeluruh untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang teraniaya.

“Puan ni telah membuat laporan polis dan tarikh laporan polis dibuat pada 24 April 2025 di balai polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan. Saya harap pihak berkuasa termasuk kedutaan akan terus bekerja demi rakyat kita. -airtimes.my.

#AirTimes #Pemerdangan #Sindiket #Malaysia #Scammer

Related Articles

Leave a Reply