IPOH, 16 Mei – Seorang pemandu lori muatan batu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas sembilan pertuduhan memandu secara berbahaya hingga mengakibatkan kematian sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dalam tragedi di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Selasa lalu.
Tertuduh, Rudi Zulkarnain Mat Radi, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua sembilan pertuduhan itu yang dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa memandu lori jenis Hino secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya sehingga menyebabkan kematian sembilan anggota FRU sekitar jam 9.05 pagi, 13 Mei lalu, di Kilometer 15 Jalan Sungai Manik, Hilir Perak.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 bagi setiap pertuduhan, dan menetapkan tarikh 17 Jun depan untuk sebutan semula kes.
Tragedi menyayat hati itu berlaku sekitar jam 8.50 pagi apabila lori dipandu tertuduh dipercayai mengalami kegagalan fungsi stereng sebelum hilang kawalan dan merempuh trak yang membawa anggota FRU Unit 5, Ipoh.
Akibat pelanggaran tersebut, sembilan anggota terkorban, termasuk lapan yang maut di lokasi kejadian, manakala sembilan lagi cedera.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin, sebelum ini memaklumkan bahawa tertuduh turut mempunyai enam rekod jenayah lampau, termasuk kesalahan berkaitan rogol dan dadah.-airtimes.my
#airtimes #kemalangan #FRU #PDRM #semasa #Malaysia