RIYADH, 14 MEI – Amerika Syarikat (AS) dan Arab Saudi menandatangani perjanjian pertahanan bernilai hampir AS$142 bilion (RM614 bilion) pada Selasa, yang disifatkan sebagai ‘perjanjian jualan pertahanan terbesar dalam sejarah’, menurut Rumah Putih.
Perjanjian itu menyasarkan bagi membekalkan Arab Saudi dengan kelengkapan dan perkhidmatan peperangan canggih daripada lebih sedozen firma pertahanan AS.
Menurut kenyataan di laman sesawang rasmi Rumah Putih, permeterai ini mencerminkan pelaburan besar dalam pertahanan dan keselamatan serantau Arab Saudi yang berpaksikan sistem serta latihan Amerika.
Ia merangkumi lima bidang utama, iaitu pemodenan tentera udara dan keupayaan angkasa lepas, pertahanan udara dan peluru berpandu, keselamatan maritim dan pesisir pantai, keselamatan sempadan dan pemodenan pasukan darat, serta penaiktarafan sistem maklumat dan komunikasi.
“Pakej ini turut merangkumi latihan dan sokongan meluas bagi memperkukuh keupayaan angkatan bersenjata Arab Saudi, termasuk pemantapan akademi ketenteraan dan perkhidmatan perubatan tentera,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, usaha bersama dalam pembangunan infrastruktur tenaga, penerokaan sumber galian dan mineral, misi angkasa lepas bersama, serta Perjanjian Pengangkutan Udara moden turut termasuk bagi membolehkan perkhidmatan kargo terus antara kedua-dua negara.
Sementara itu, Rumah Putih juga mengumumkan perancangan kerjasama dipertingkat dengan Arab Saudi dalam sektor kritikal seperti kesihatan, tenaga dan sains, selain sektor pertahanan.
Susulan, Arab Saudi merupakan antara rakan dagang terbesar AS di Asia Barat, dengan pelaburan langsung negara itu di AS berjumlah AS$9.5 bilion (RM41 bilion) pada 2023 lalu, yang tertumpu dalam sektor pengangkutan, hartanah dan automotif.
Menurut Rumah Putih lagi, jumlah dagangan barangan antara AS dan Arab Saudi pada 2024, mencecah AS$25.9 bilion (RM112 bilion).
Trump tiba di Riyadh, pada awal pagi Selasa untuk memulakan lawatan empat hari ke Asia Barat yang turut merangkumi Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Presiden AS itu dijadual menghadiri sidang kemuncak bersama pemimpin negara Teluk pada 14 Mei sebelum meneruskan lawatan ke Doha, Qatar pada hari yang sama dan ke Abu Dhabi, UAE pada 15 Mei.
Lawatan ini dilihat sebagai kesinambungan strategi pembabitan meluas diplomatik dan ekonomi beliau di rantau Teluk, seiring dengan lawatan sulung ke luar negara pada 2017 yang turut bermula di Arab Saudi. -airtimes.my
#Airtimes #Pertahanan #RumahPutih #AS #ArabSaudi