Home SemasaNahas FRU: 9 jenazah anggota diberi penghormatan terakhir

Nahas FRU: 9 jenazah anggota diberi penghormatan terakhir

by Nurulhuda
A+A-
Reset

IPOH, 14 Mei – Sembilan jenazah anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam nahas jalan raya di Teluk Intan telah menerima penghormatan terakhir mengikut istiadat rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Istiadat berkenaan berlangsung pada jam 3.30 pagi di FRU Unit 5 Sungai Senam, disaksikan lebih 500 orang termasuk warga PDRM, ahli keluarga, serta barisan kepimpinan negeri.

Kesemua keranda dibawa menggunakan kenderaan khas dan dilitupi Jalur Gemilang sebagai tanda penghormatan terakhir buat wira-wira negara itu.

Tujuh jenazah anggota FRU yang beragama Islam kemudian disolatkan di Surau Al-Mustakim.

Terdahulu, kesemua jenazah dibawa keluar dari Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan pada jam 12.33 tengah malam selepas selesai proses bedah siasat. Jenazah beragama Islam telah disolatkan terlebih dahulu di surau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak.

Lebih 500 waris mangsa dan anggota polis menyaksikan perjalanan terakhir perwira negara itu. Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin.

Selesai istiadat, semua jenazah diserahkan kepada waris untuk urusan pengebumian di kampung halaman masing-masing.

Tragedi menyayat hati itu berlaku pada jam 8.50 pagi semalam apabila trak membawa 18 anggota FRU termasuk pemandu bertembung dengan sebuah lori membawa muatan batu di Jalan Chikus–Sungai Lampam, Teluk Intan.

Ketika kejadian, kesemua anggota FRU tersebut dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas menamatkan penugasan operasi Op Chariot sempena sambutan Hari Wesak di Teluk Intan.-airtimes.my

#semasa #airtimes #FRU #kemalangan #TelukIntan #PDRM

Related Articles

Leave a Reply