Home Pertahanan dan KeselamatanToruk Makto: TUDM beri gelaran baharu Su-30MKM, ambil inspirasi dari animasi Avatar

Toruk Makto: TUDM beri gelaran baharu Su-30MKM, ambil inspirasi dari animasi Avatar

by M.Daim
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 13 MEI – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) memperkenalkan imej baharu pesawat tempur Su-30MKM dengan gelaran istimewa – “Toruk Makto”.

Nama satu jolokan tersebut dipilih kerana membawa makna mendalam tentang keberanian, ketulenan dan semangat juang yang luar biasa.

TUDM dalam satu kenyataan berkata, nama tersebut diinspirasikan daripada dunia fiksyen Avatar, gelaran “Toruk Makto”. Ia merujuk kepada penunggang makhluk udara paling berbahaya di Pandora, iaitu Toruk, juga dikenali sebagai The Last Shadow. Dalam kepercayaan puak Na’vi, hanya insan berhati murni dan jiwa tulen mampu menundukkan makhluk itu.

Poster Toruk Makto yang dikeluarkan oleh TUDM. Foto: TUDM

TUDM meminjam simbolisme ini bagi menggambarkan keunikan peranan dan semangat luar biasa yang dimiliki oleh juruterbang Su-30MKM.

“Su-30MKM bukan sekadar pesawat. Ia adalah makhluk besi yang memerlukan pengendali berjiwa besar. Hanya mereka yang benar-benar layak, secara fizikal, mental dan moral, mampu menjinakkan dan menerbangkannya,” jelas kenyataan rasmi TUDM yang dikeluarkan hari ini.

Jet pejuang buatan Rusia itu merupakan antara tulang belakang sistem tempur udara negara, lengkap dengan teknologi generasi 4.5, keupayaan supermanuver dan sistem persenjataan canggih. Namun, TUDM menegaskan bahawa kekuatan sebenar pesawat itu bukan semata-mata pada mesinnya, tetapi pada insan di dalam kokpit.

SU=30MKM merupakan antara taring utama pertahanan kedaulatan ruang udara Malaysia. Foto: TUDM

Seperti dalam kisah Avatar, hanya penunggang terpilih, iaitu “Toruk Makto” –diberi kepercayaan untuk mengendali The Last Shadow. Begitu juga dalam realiti pertahanan negara, hanya individu yang memiliki kesatuan akal, jiwa dan integriti mampu menjadi juruterbang Su-30MKM.

Mereka adalah penjaga langit, yang terbang bukan untuk menonjolkan kuasa, tetapi bagi mempertahankan kedaulatan tanah air.

“Dalam kokpit, seorang juruterbang perlu membuat keputusan dalam detik genting – antara hidup dan mati. Keputusan ini tidak boleh didorong oleh ego, tetapi mesti lahir daripada rasa tanggungjawab yang tulen,” menurut kenyataan itu lagi.

Langkah memberi gelaran “Toruk Makto” kepada Su-30MKM bukan sekadar simbolik, tetapi satu penghormatan terhadap pengorbanan, latihan keras dan komitmen tidak berbelah bahagi yang ditunjukkan oleh juruterbang TUDM selama ini.

Toruk Makto merupakan golongan dalam animasi fiksyen Avatar. Foto: WIKI

Dengan gelaran baharu ini, Su-30MKM kini bukan sahaja berperanan sebagai aset strategik negara, malah menjadi lambang kepercayaan, keberanian dan jiwa kental yang menjadi teras kepada pasukan udara negara.

“Toruk Makto bukan milik sembarangan. Ia milik mereka yang membawa cahaya dalam bayang-bayang terakhir,” tambah kenyataan tersebut. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply