NEW YORK, 14 Mei – Malaysia menyeru agar pembaharuan segera dilakukan dalam operasi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi meningkatkan keberkesanan serta menjamin keselamatan anggota ketika menghadapi cabaran global yang semakin kompleks.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pasukan pengaman kini menghadapi pelbagai cabaran yang kompleks dan sentiasa berubah berikutan landskap geopolitik yang dinamik.
Menurutnya, terdapat dua anjakan utama yang perlu diberi perhatian dalam memacu pembaharuan operasi pengaman.
“Pertama, kita perlu pastikan pasukan pengaman dilengkapkan dengan peralatan dan persenjataan termaju. Ini bukan sahaja memperkukuh keupayaan sebagai elemen penggentar (deterrent), malah membolehkan mereka bertindak balas lebih pantas terhadap sebarang ancaman serta meningkatkan moral anggota,
“Anjakan kedua yang dicadangkan ialah pembinaan kapasiti, termasuk pelaburan dalam program latihan dan pembangunan anggota bagi menjamin kecekapan, keselamatan dan keberkesanan operasi misi pengaman,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan pandangan dalam High-Level Session II – Peacekeeping Reform: More Effective and Safer Peacekeeping pada forum UN Peacekeeping Ministerial 2025 yang berlangsung di sini, Rabu.
Tambah beliau, seiring dengan kemajuan teknologi, pembaharuan turut perlu merangkumi penyesuaian dasar dan polisi operasi.
“Ini termasuk kajian semula doktrin operasi, pengemaskinian prosedur operasi standard (SOP), serta penetapan garis panduan dan etika yang jelas dalam penggunaan teknologi baharu,
“Langkah-langkah ini penting untuk membentuk pasukan pengaman yang bukan sahaja bersedia melaksanakan operasi secara berkesan, tetapi juga berlandaskan nilai yang kukuh dan rasa tanggungjawab yang mendalam,” tegasnya.
Malaysia merupakan antara negara penyumbang pasukan pengaman yang komited menyokong usaha keamanan sejagat melalui penugasan di bawah panji PBB, termasuk di Lubnan, Sahara Barat, dan pelbagai lokasi konflik lain.-airtimes.my
#pertahanan #PBB #Malaysia #misipengaman #airitmes