KUALA LUMPUR, 6 Mei – Kerajaan bersedia memperluas rantaian import beras dengan negara-negara serantau susulan konflik yang semakin memuncak antara India dan Pakistan, dua negara utama pembekal beras kepada negara ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata ketegangan yang berlaku berisiko mengganggu aliran eksport beras ke Malaysia memandangkan kedua-dua negara tersebut menyumbang hampir 38 peratus kepada jumlah import beras negara.
“Boleh (bekalan import terjejas), ini kerana kedua-dua negara mengeksport kira-kira 38 peratus beras ke negara kita. Saya harap dan berkeyakinan kedua-dua pihak pun tidak mahu berperang,
“Bagaimanapun, kita akan bekerjasama dengan negara seperti Thailand, Vietnam dan Kemboja bagi memastikan bekalan beras di negara ini terjamin,” katanya seperti dilapor Bernama.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Pusat Pengeluaran Benih Padi Sah Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak di Parit Buntar, hari ini.
Terdahulu, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menyempurnakan majlis perasmian pusat berkenaan.
Mengulas lanjut, Mohamad Sabu berkata, meskipun ketika ini tiada gangguan terhadap kemasukan beras dari India dan Pakistan, kerajaan tetap memantau perkembangan geopolitik antara dua negara itu yang berpotensi menjejaskan rantaian bekalan.
Krisis diplomatik antara India dan Pakistan dilaporkan kembali tegang susulan serangan berdarah di wilayah Kashmir pada 22 April lalu yang meragut 26 nyawa.
Ketegangan itu mencetuskan kebimbangan global terhadap kestabilan keselamatan rantau Asia Selatan serta rantaian bekalan komoditi, termasuk beras.-airtimes.my
#semasa #Malaysia #India #Pakistan #airtimes