ALOR SETAR, 6 MEI – Landasan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di sini ditutup sementara susulan insiden melibatkan sebuah pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berlaku sekitar jam 5.00 petang tadi.
Menurut kenyataan Malaysia Airports, penutupan ini bagi membolehkan kerja-kerja pengalihan pesawat yang terkandas di atas landasan serta operasi pembersihan dilakukan.
“Notis kepada Juruterbang (NOTAM) bernombor A2174/25 telah dikeluarkan dan penutupan dijangka berlarutan sehingga jam 10.30 malam ini (6 Mei),” jelas kenyataan tersebut.
Berdasarakan pencarian Air Times, berikut merupakan butiran penuh NOTAM yang dikeluarkan:
A2174/25 NOTAMN
Q) WMFC/QMRLC/IV/NBO/A /000/005/0611N10024E005
A) WMKA B) 2505060900 C) 2505061430
E) RWY CLSD DUE TO DISABLE ACFT ON RWY
(Landasan ditutup akibat pesawat terkandas di atas landasan)
Penutupan sementara ini mengakibatkan semua operasi penerbangan tergendala, termasuk penerbangan yang membawa jemaah haji.
Para penumpang dinasihatkan supaya segera menghubungi syarikat penerbangan masing-masing atau Lembaga Tabung Haji untuk mendapatkan maklumat terkini berhubung jadual penerbangan.
“Pihak lapangan terbang akan memberikan maklumat lanjut sebaik sahaja landasan diisytiharkan selamat dan dibuka semula untuk operasi penerbangan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM),” tambah kenyataan itu.
Orang ramai juga diminta bersabar serta sentiasa mengikuti perkembangan semasa bagi memudahkan sebarang urusan perjalanan sepanjang tempoh gangguan ini. – airtimes.my