if ( function_exists( 'wp_body_open' ) ) { wp_body_open(); } else { do_action( 'wp_body_open' ); } ?>
Home Semasa ASEAN pilih rundingan, tidak balas tindakan tarif Amerika Syarikat

ASEAN pilih rundingan, tidak balas tindakan tarif Amerika Syarikat

by Zulfadhli Azmie

KUALA LUMPUR, 10 April – Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN mengambil pendirian tidak membalas tindakan tarif sepihak oleh Amerika Syarikat (AS), sebaliknya memilih untuk terus menjalinkan dialog terbuka bagi memastikan kestabilan ekonomi serantau terpelihara.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan selepas Mesyuarat Khas ASEAN secara maya, yang diadakan berikutan pengenalan tarif baharu oleh AS pada 2 April dan penggantungan sebahagian daripadanya pada 9 April lalu.

Menurut kenyataan itu, langkah unilateral oleh Washington telah menimbulkan ketidaktentuan dalam pasaran global dan memberi kesan langsung kepada perniagaan di rantau ini – khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Pengenaan tarif secara sehala akan mengganggu perdagangan dan pelaburan serantau serta global. Ia turut menjejaskan rantaian bekalan dan memberi kesan terhadap mata pencarian berjuta-juta rakyat, termasuk di AS sendiri,” jelas kenyataan ASEAN.

AS merupakan sumber pelaburan langsung asing (FDI) terbesar ASEAN dan rakan dagang kedua terbesar rantau ini. ASEAN pula menjadi rakan dagang kelima terbesar kepada AS pada tahun 2024.

Namun, tindakan mengenakan tarif tanpa rundingan disifatkan sebagai langkah yang boleh melemahkan hubungan jangka panjang yang telah terbina selama lebih empat dekad di bawah status Rakan Strategik Komprehensif ASEAN-AS.

“Langkah ini menjejaskan keyakinan terhadap sistem perdagangan berasaskan peraturan dan meletakkan tekanan tambahan terhadap ekonomi negara anggota, terutama yang sedang membangun,” tambah kenyataan itu.

Meskipun berdepan cabaran tersebut, ASEAN tidak bercadang untuk mengambil langkah balas. Sebaliknya, rantau ini komited kepada penyelesaian secara rundingan melalui kerangka ASEAN-AS yang sedia ada, seperti Perjanjian TIFA dan Rancangan Kerja Keterlibatan Ekonomi Diperluas (E3).

“Kami sedia berbincang secara terbuka dan membina untuk mencari penyelesaian yang saling menguntungkan, terutama dalam perdagangan dua hala dan pelaburan strategik,” tegas ASEAN.

ASEAN juga menekankan pentingnya memperkukuh kerjasama dalam bidang digital, teknologi hijau, perkhidmatan bernilai tinggi, dan pembangunan rantaian bekalan serantau.

Dalam kenyataan yang sama, ASEAN menyatakan sokongan padu terhadap Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) sebagai teras kepada sistem perdagangan global yang adil, telus, dan inklusif.

Menteri-menteri turut menyambut kenyataan Ketua Pengarah WTO, Dr. Ngozi Okonjo-Iweala, yang memberi amaran bahawa tarif AS boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi global dan menambah tekanan kepada negara kurang membangun.

Oleh itu, ASEAN mengambil langkah untuk terus memperkukuh integrasi serantau melalui pelaksanaan inisiatif seperti Penaiktarafan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) dan pemuktamadan Perjanjian Ekonomi Digital ASEAN (DEFA).

Langkah ini dijangka akan memperkukuh perdagangan intra-ASEAN, meningkatkan daya tahan ekonomi, dan memastikan ASEAN kekal sebagai rantau ekonomi yang stabil, terbuka, dan kompetitif.-airtimes.my

#AirTimes #ASEAN2025 #EkonomiSerantau #TarifAS

Related Articles

Leave a Reply