SEMPORNA, 20 FEB – Sekolah Kebangsaan (SK) Sulabayan di Pulau Bum Bum akan terus menjadi antara lokasi tumpuan dalam usaha menyemai semangat patriotisme di Pantai Timur Sabah.
Komandan Kolej Perisikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Leftenan Kolonel Maszuraidy Masduki berkata, pemahaman rakyat terhadap keselamatan dan kedaulatan negara amat penting dalam memastikan keamanan negara kita terus terpelihara.
“Sabah sering berdepan ancaman keselamatan dan kesedaran rakyat tentang peranan ATM dalam menjaga kedaulatan negeri ini amat penting,
“Pendekatan yang kita tekankan dalam program ini adalah untuk memupuk nilai-nilai patriotisme di kalangan murid-murid, memupuk nilai-nilai perpaduan dan menerangkan mengapa penting bagi mereka mengetahui sejarah pembentukan Malaysia,” katanya.

Komandan Kolej Perisikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Leftenan Kolonel Maszuraidy Masduki (Foto: Airtimes/Danish)
Menurut beliau, SK Sulabayan dipilih kerana kebanyakan murid di sekolah berkenaan berasal daripada keluarga berpendapatan rendah (B40), yang kurang mendapat akses kepada maklumat berkaitan keselamatan dan sejarah negara.
“Kami dapati ramai murid di sekolah ini tidak mempunyai akses kepada televisyen atau internet di rumah. Di peringkat awalnya, amatlah penting bagi mereka untuk terdedah dengan program-program yang sebegitu,
“Maka, adalah penting bagi mereka diberikan pendedahan awal mengenai nilai perpaduan, sejarah pembentukan Malaysia serta ancaman keselamatan yang dihadapi negara,” katanya pada majlis penutup program kenegaraan di SK Sulabayan, Sabah, pada Khamis.
Program Jalinan Akrab Tentera dan Awam anjuran Malaysian Defence Intelligence Organisation (MDIO) ini telah berlansung sejak Selasa.
Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan, termasuk pemasangan bendera Malaysia, nyanyian lagu patriotik, tayangan filem kenegaraan, pertandingan kuiz warisan negara serta taklimat keselamatan oleh anggota ATM.

Sekolah Kebangsaan (SK) Sulabayan di Pulau Bum Bum, Sabah (Foto: Airtimes/Danish)
Mengulas lanjut, beliau menekankan faktor kedudukan pulau ini yang berhampiran dengan sempadan selatan Filipina dan perairan antarabangsa, turut menjadi salah satu sebab utama pemilihan lokasi.
“Oleh itu, ATM berusaha mendekati masyarakat untuk memastikan mereka faham bahawa menjaga keselamatan bukan hanya tugas tentera, tetapi juga melibatkan seluruh rakyat,” jelasnya lagi.
Selain SK Sulabayan, program serupa telah dijalankan di beberapa pulau yang lain seperti Pulau Sebatik dan ianya akan diperluaskan ke kawasan strategik yang lain dalam fasa seterusnya.
Malah, dalam masa terdekat, ATM juga merancang untuk mengembangkan program ini dengan lebih banyak sesi libat urus bersama penduduk kampung, selain menerapkan pendekatan pendidikan keselamatan kepada pelajar sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi.
“Program kenegaraan ini adalah mengumpul nilai-nilai semangat patriotisme di kalangan negeri. Di mana tanpa nilai-nilai patriotisme, tidak akan ada kesedaran untuk sama-sama menjamin keselamatan negara,” luahnya. – airtimes.my
#pertahanan #mdio #ATM #jiwamurni #Sabah #airtimes