KELANTAN, 25 Jan – Tentera Darat Malaysia (TDM) melalui Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Div) telah melaksanakan Projek Jiwa Murni (PJM) dengan membina rumah baharu bagi membantu meringankan beban golongan asnaf dan fakir miskin di kawasan tanggungjawab.
Markas 2 Div dalam kenyataan memaklumkan, projek pembinaan rumah baharu milik Mohd Jamili Ghani yang berkeluasan 20’ X 30’ (3 bilik tidur, 2 bilik air) ini mengambil masa selama 134 hari bermula pada 3 Ogos 2022 dan siap sepenuhnya pada 3 Januari 2023.
“Kerja-kerja pembinaan rumah ini telah dilaksanakan oleh pasukan 7 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (7 Skn RAJD) dengan bantuan anggota tentera dari Markas Briged Kelapan Infantri Malaysia (8 Bgd) iaitu daripada Batalion Ke-21 Rejimen Askar Melayu Diraja (21 RAMD), Batalion 1 Rejimen Sempadan (1 RS), Batalion 2 RS dan Batalion Kelima Artileri Diraja (5 RAD),
“Mohd Jamili merupakan warga tempatan berumur 60 tahun yang telah dipilih di dalam PJM ini mengikut kriteria penerima yang amat memerlukan bantuan berdasarkan faktor usia, kehidupannya yang daif, keadaan rumahnya yang telah usang dan tiada pendapatan bulan yang tetap,” jelas pihak 2 Div.
Panglima Divisyen Kedua Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Muhammad Huzaimi Sabri telah menyempurnakan Majlis Perasmian Projek Jiwa Murni (PJM) pembinaan rumah baharu tersebut di Kampung Kubang Binjal, Pasir Mas, pada Rabu.
Menurut 2 Div Infantri, pembinaan rumah PJM ini telah membantu meringankan beban yang ditanggung oleh Mohd Jamili dan ini sejajar dengan Tonggak Kelima Panglima Tentera Darat Ke-28 iaitu Peningkatan Hubungan Tentera dengan Awam.
“PJM ini merupakan inisiatif khas Tentera Darat Malaysia di dalam membantu meringankan beban golongan asnaf dan fakir miskin di kawasan yang telah dikenalpasti KTJ 2 Div,
“Selain itu, ia juga meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kredibeliti dan kesiagaan TDM dalam membantu pihak berkuasa awam dan masyarakat secara total,” jelas kenyataan itu lagi.
Turut hadir, Panglima 8 Bgd, Brigedier Jeneral Azudin Hassan; Komander RAD 2 Div, Kol Mohd Tarmizi Basri; Komander RAJD 2 Div, Kol Abdul Rahim Hamzah dan Penghulu Mukim Bakong, Kamarudin Che Ngah. -airtimes.my