Bintulu, 2 Apr – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) mengadakan aktiviti gotong-royong membersihkan Taman Tumbina Bintulu di sini, hujung minggu lalu.
Program Jiwa Murni anjuran TLDM untuk masyarakat setempat itu diadakan sempena Hari Terbuka Kapal Diraja (KD) Sri Indera Sakti yang berlabuh di Bintulu pada 30 Mac 18.
Turut menyertai program itu, Pegawai Memerintah Kapal KD Sri Indera Sakti Komander Mohamad Sham Saimon yang menyelaras aktiviti tersebut dengan Pengurus Taman Tumbina Bintulu Clement Achui.
Program dimulakan dengan taklimat ringkas disampaikan oleh Clement disertai pembahagian kumpulan terdiri daripada 40 anggota TLDM dan 20 kakitangan TamanTumbina Bintulu.
Kerja-kerja pembersihan merangkumi laluan ‘jungle trekking’, pemasangan papan tanda dan kawasan sekitar bagi meningkatkan keceriaan taman yang menempatkan pelbagai jenis flora dan fauna termasuk haiwan liar di sini.
KD Sri Indera Sakti yang merupakan kapal perang terbesar dalam inventori TLDM berlabuh di Pelabuhan Bintulu semalam.
Orang awam dipelawa datang menyaksikan kapal perang sepanjang 100 meter dan seberat 4,300 tan itu yang ditauliahkan pada 24 Oktober 1980.
Kapal itu pernah beroperasi di perairan Teluk Aden, Somalia bagi menentang lanun pada 2008-2009.
Pelawat juga berpeluang melihat helikopter operasi maritim jenis Fennec milik TLDM di kapal tersebut.