Home Diskusi Kesiagaan Aset Tentera

Kesiagaan Aset Tentera

by M.Daim

Angkatan Tentera Malaysia dipertanggungjawabkan untuk menjaga segenap ruang di darat, laut dan udara agar sentiasa terpelihara dan tidak dicerobohi. Ini terutamanya dengan melihat Dasar Pertahanan Negara yang menggariskan setiap kawasan dan setiap dimensi dari Perlis sehingga ke Sabah perlu dipertahankan.

Dilatih dengan penuh disiplin yang tinggi, uniform dan beret yang dipakai bukanlah sekadar pakaian semata-mata tetapi ianya adalah simbolik amanah pasukan tentera untuk mendukung dan menggalas tanggungjawab mereka demi tanah air tercinta.

Perolehan aset pertahanan adalah salah satu jujukan kepada aspek Keiagaan yang digariskan secara tahunan oleh Kementerian Pertahanan Malaysia dan ATM.

Bagi melaksanakan tugas tersebut, ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM sudah tentu memerlukan aset-aset pertahanan yang terkini dan bersesuaian dengan tugas-tugas mereka.

Persiapan atau kesiagaan aset seperti kapal, jet pejuang, kereta perisai sehinggalah senjata api sekalipun sememangnya diberikan perhatian khusus oleh anggota tentera.

Kesiagaan atau persiapan aset adalah perkara mustahak di mana kesemua aset-aset ini perlu dalam keadaan bersedia dan boleh diaturgerak pada bila-bila masa. Ibarat pepatah Melayu, “Sediakan payung sebelum hujan, sediakan perahu sebelum banjir”.

Di sisi Islam, persiapan sebegini sudah tentu dituntut dan telah jelas dinyatakan dalam kitab suci Al-Quran seperti yang terkandung dalam ayat 60, surah Al-Anfal yang bermaksud:

Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.

Aspek Kesiagaan

Aspek Kesiagaan merupakan salah satu teras Hala Tuju Kementerian Pertahanan Malaysia yang dibuat dari tahun ke tahun. Teras Kesiagaan menuntut tahap persiapan aset dan juga anggota tentera untuk dikerah pada bila-bila masa, bukan sahaja untuk berperang tetapi untuk melaksanakan tugas-tugas lain seperti melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR), dan bantuan bencana dan kemanusiaan (HADR).

Dalam keadaan semasa dan trend ancaman global, ancaman bukan tradisional seperti bencana alam dan juga ancaman pengganas telah lama menghantui kita semua. Ancaman pengganas khususnya telah berkembang dan menjadi satu ancaman hibrid di mana operasi membanteras pengganas memerlukan kerjasama semua pihak termasuk antara pasukan polis dan tentera.

Sungguh pun begitu, ini tidak bermakna kesiagaan aset dianaktirikan, biarpun tidak mempunyai bajet yang besar seperti beberapa buah negara jiran, perolehan dan kesiagaan aset ATM tetap diteruskan.

Kesiagaan ini tidak bermakna kita perlu berperang dengan negara-negara tertentu tetapi perlu diingatkan bahawa pertahanan adalah insurans negara dan memainkan peranan yang penting dalam faktor cegah rintang atau ‘deterrence’.

Walaupun begitu, setiap perolehan aset seringkali dipersoalkan dan seringkali dibanding-bandingkan dengan angkatan lain. Dan ada yang secara berani cuba memotong belanjawan pertahanan dengan alasan soalan bahawa “Malaysia nak berperang dengan siapa?”.

Sungguh pun begitu, agak dangkal jika dikatakan belanjawan pertahanan adalah untuk perolehan aset semata-mata. Pada hakikatnya, banyak perkara-perkara lain yang memerlukan perbelanjaan seperti penggunaan dan selenggara aset, pembelian alat ganti, latihan, dan tidak dilupakan akan kebajikan anggota serta veteran tentera.

Sekiranya penerangan sebegini tidak mampu difahami, kita boleh melihat analogi pemilikan sebuah kenderaan. Memiliki kenderaan sebagai contoh sebuah motorsikal memerlukan lesen, alat ganti, bahan api dan juga senggaraan.

Meriam 105mm Oto Melara telah lama berkhidmat dalam Tentera Darat Malaysia. Meriam ini turut digunakan untuk mengempur musuh pada Ops Daulat 2013 lalu.

Mereka yang mempunyai tahap kesedaran tinggi dan melakukan liputan secara berterusan dunia pertahanan dengan cara yang betul sudah pasti mengetahui akan perkembangan semasa ATM dari segi pelbagai aspek.

AV8 Gempita telah lama beroperasi dan berkhidmat di segenap bumi tanah air, terutamanya Sabah.

Tentera Darat Malaysia (TDM) pada ketika ini sedang menanti kehadiran helikopter MD530G, sistem artileri bergerak M109 dari Amerika Syarikat, dan meriam artileri 105mm. Tidak dilupakan juga akan perolehan aset dan fasiliti untuk Grup Gerak Khas seperti yang diumumkan semasa Bajet 2018 pada tahun lalu.

 

Selain daripada itu, projek kereta perisai 8×8 AV8 Gempita yang terdiri daripada pelbagai varian telah pun lama berjalan. Tentera Darat secara beransur-ansur menerima kenderaan berperisai tersebut dan ada di antaranya telah pun beroperasi.

Walaupun begitu, perolehan AV4 Lipan Bara turut diterima oleh Tentera Darat Malaysia bagi memastikan kesesuaian peralatan Tentera Darat untuk beroperasi di muka bumi Malaysia.

Kenderaan berperisai Condor dan kereta kebal ringan Scorpion pada ketika ini sedang dikaji untuk ditingkat upaya oleh TDM bersama syarikat tempatan.

Beberapa bulan yang lalu, tidak dilupakan juga akan pengisytiharan 18RAMD (PARA) berstatus operasi (elit) melalui penstrukturan semula Tentera Darat. Pengisytiharan ini sekaligus menambahkan lagi kekuatan Pasukan Atur Cepat TDM.

Pelan Transformasi 15-to-5 merupakan perancangan transformasi menyeluruh TLDM.

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pula bakal melihat hasil program 15-to-5 yang digariskan semenjak beberapa tahun lalu. Program 15-to-5 sering kali tidak difahami sebagai usaha untuk mengurangkan jumlah aset TLDM. Hakikatnya, program 15-to-5 adalah program transformasi armada yang melibatkan kekemasan semula aset TLDM. 5 kelas baharu yang dimaksudkan adalah LCS, NGPV, LMS, MRSS dan kapal selam.

Pada hemat penulis, kekemasan aset adalah perlu lebih-lebih lagi dengan melihat keadaan tidak menentu dunia dari segi ekonomi dan geopolitik. Malaysia bukannya satu-satunya negara yang secara esklusif menerima impak dari kesan masalah ekonomi global yang berlaku beberapa tahun lalu.

Perkara yang sama dirasai oleh negara-negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat, Rusia dan Jerman.

Pada tahun lalu, Deutsche Marine (Tentera Laut Jerman) telah menerima tamparan hebat apabila kesemua angkatan kapal selam negara itu gagal beroperasi. Defense News yang memetik laporan SHZ yang menyatakan masalah tersebut adalah berpunca dari perancangan penjimatan kos yang tidak selari dengan keadaan semasa. Natijahnya, Deutsche Marine mengolah semula struktur perolehan alat ganti dan menyusun semula polisi bagi memastikan kesiagaan aset negara itu terjaga.

Di Malaysia, program 15-to-5 pula adalah satu usaha untuk memastikan aset-aset TLDM terjaga, selari dengan arus peredaran zaman. Sungguh pun begitu, TLDM turut melaksanakan pelbagai transformasi dan perubahan dari segi dasar, polisi, dan juga perancangan bagi memastikan setiap aset TLDM terjaga.

Memetik kenyataan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Bin Haji Ahmad Badaruddin semalam, TLDM mengamalkan budaya senggaraan (maintenance culture) yang optimum sehinggakan aset-aset yang berusia 50 tahun dalam TLDM masih lagi mampu untuk beroperasi dalam menjaga perairan negara.

Pada hemat penulis, ini tidak semestinya TLDM akan berterusan mengoperasikan aset-aset lama. Pada ketika ini, program 15-to-5 sedang berjalan dan hanya tinggal MRSS sahaja lagi untuk melengkapi perlaksanaan awal perancangan program 15-to-5.

Semasa pelancaran Program Perkasa Perwira, Menteri Pertahanan Malaysia, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein telah memberikan bayangan bahawa program MRSS akan dilancarkan untuk TLDM.

LCS1 telahpun dinamakan Maharaja Lela pada tahun lalu. Kapal ini bakal beroperasi sepenuhnya pada tahun 2019.

Pada ketika ini, kapal Littoral Combat Ship (LCS) sedang dibina di Boustead Naval Shipyard dengan kerjasama Naval Group. Kapal LCS1, Maharaja Lela telah pun dilancarkan pada 24 Ogos 2017 sementara LCS2 telah melepasi fasa peletakan lunas (keel laying). Maharaja Lela bakal beroperasi penuh pada tahun 2019.

6 buah kapal New Generation Patrol Vessel (NGPV) yang kita semua kenali sebagai kapal kovet kelas Kedah sedang beroperasi di perairan negara. Melihat kepada program 15-to-5, TLDM bakal menambah bilangan NGPV.

KD Pahang merupakan salah sebuah daripada enam buah kapal kovet kelas Kedah (NGPV). Program 15-to-5 menggariskan penambahan kapal NGPV.

Pada Februari lalu, Panglima Tentera Laut telah mengumumkan bahawa TLDM merancang untuk menambah 2 buah lagi kapal selam dalam tempoh 20 tahun akan datang. Perancangan penambahan ini adalah selari dengan program transformasi armada dan dijangkan akan berlangsung pada sekitar 2031 sehingga 2040.

Perolehan kapal Littoral Mission Ship (LMS) pula dilihat usaha serius TLDM dalam menjaga perairan Sabah khususnya ancaman pihak lanun yang menganggu gugat perairan sana. Kapal LMS mungkin kelihatan kecil dari segi dimensinya berbanding kapal lain, namun spefikasi dimensi LMS adalah bersesuaian dengan keadaan laut Sabah yang ada diantaranya terlalu cetek untuk dilalui oleh kapal-kapal yang lebih besar. Lebih tepat, perolehan LMS adalah bersesuaian dengan misi yang akan dipenuhi oleh kapal tersebut.

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pula pada ketika ini akan memberikan fokus kepada perolehan pesawat rondaan maritim (MPA). Perolehan MPA adalah bertepatan bagi menggantikan pesawat Beechcraft King Air 200T yang mempunyai masa penerbangan operasi yang terlalu rendah.

Maksud masa penerbangan operasi yang rendah adalah jangkamasa penerbangan yang terlalu pendek terutamanya untuk mengawasi perairan negara seluas 556, 285 kilometer persegi seperti yang dinyatakan oleh Pusat Hidrografi Nasional TLDM.

Selain daripada itu, insiden MH370 dan insiden MT Orkim Harmony telah jelas menunjukkan bahawa keupayaan rondaan maritim dari udara perlu dipertingkatkan untuk TUDM.

A400M merupakan antara aset terkini yang dioperasikan oleh TUDM.

Mengenai skuadron pengangkut pula, TUDM telah pun lengkap memiliki 4 buah pesawat A400M dari Airbus. TUDM merupakan pengguna terulung di rantau ini dan telah pun menerima pesawat ke-4, yang terakhir pada Mac 2017. Pesawat ini telah pun berjaya melaksanakan pelbagai misi yang di antaranya misi bantuan kemanusiaan di Filipina dan terbaru, di Bangladesh.

Pesawat C-130H Hercules pula akan ditingkat upaya dan begitu juga helikopter Nuri.

Skuadron Hawk pula telah ditugaskan untuk memberi fokus kepada keselamatan Sabah dan misi ini akan dibantu oleh F/A-18D dan Su-30MKM. Jet pejuang MiG-29N masih lagi beroperasi.

Program MRCA yang tertangguh sudah tentu menunjukkan isyarat bahawa TUDM masih berhati-hati dalam memilih calon MRCA baharu. Sungguh pun program MRCA menjadi topik hangat di forum-forum pertahanan, jawapan pemilihan MRCA sudah tentu pada TUDM sendiri kerana mereka adalah pengguna atau ‘end user’ yang mengoperasikan aset-aset tersebut.

Sentiasa di angkasa raya – TUDM yang menjadi lembayung kepada ruang udara negara sentiasa melaksanakan rondaan bagi menjaga kedaulatan tanah air.

Dan tidak mustahil, TUDM akan menstrukturkan semula kekuatan udara mereka bagi memenuhi keperluan Pelan Transformasi Air Force Next Generation (AF-NG) yang akan menjadi sandaran dan landasan TUDM untuk mempertingkatkan dan memperkasakan pengurusan ruang angkasa negara.

Perolehan adalah salah satu jujukan dalam Teras Kesiagaan. Begitu juga senggaraan aset dan juga tempo rondaan aset. Tahap kesiapsiagaan TDM, TLDM dan TUDM adalah dalam keadaan optimum, tidak seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak yang menyatakan “banyak pesawat TUDM tersadai dan kapal TLDM tersadai”.

Kenyataan sedemikian rupa seolah-olah memperkecilkan usaha ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM terutamanya dalam menyelenggara aset dan peralatan ATM.

Mengimbau semula kenyataan Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman semalam jelas menunjukkan anggota TLDM menyedari bahawa aset TLDM merupakan amanah rakyat kepada mereka dan diselenggara dengan baik. Perkara yang sama sudah tentu digalas oleh cabang-cabang perkhidmatan ATM yang lain bagi memastikan aset dan peralatan berupaya untuk memenuhi keperluan tugas semasa.

TUDM sudah tentu yang menjadi lembayung angkasaraya tanah air sentiasa memastikan rondaan dan tahap kesiapsiagaan angkatan udara berada di tahap tertinggi. Begitu juga TLDM yang memastikan samudera raya tanah air sentiasa terpelihara dan tidak ketinggalan Tentera Darat Malaysia yang sentiasa berwaspada di kawasan sempadan dan zon keselamatan tanah air.

Ini selari dengan Teras Kesiagaan yang digariskan oleh Kementerian Pertahanan dan ATM, yang sudah pasti dipegang oleh semua cabang perkhidmatan ATM.

 

 

 

 

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!