Home Pertahanan dan KeselamatanTiada beza formula pencen ATM sebelum dan selepas 2013 – Khaled Nordin

Tiada beza formula pencen ATM sebelum dan selepas 2013 – Khaled Nordin

by Nurulhuda
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 20 Feb – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, menegaskan bahawa tiada perbezaan dalam formula pencen bagi anggota tentera yang tamat perkhidmatan sebelum dan selepas 1 Januari 2013.

Beliau menjelaskan perkara ini di Parlimen sebagai respons terhadap tuntutan pelarasan pencen yang dibawa oleh 50 orang veteran ATM yang bersara sebelum tarikh tersebut.

Menurut Mohamed Khaled, kes ini masih dalam pertimbangan Mahkamah Rayuan dan kerajaan tidak wajar mengulas panjang lebar.

Namun, beliau menjelaskan tiga tuntutan utama dalam saman pemula yang difailkan pada 17 November 2022.

“Antara tuntutan tersebut ialah pengisytiharan bahawa kerajaan dan Kementerian Pertahanan (MINDEF) telah memungkiri peruntukan di bawah Perkara 137 atau Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan bersama Seksyen 187 Akta ATM dalam kegagalan melaksanakan pelarasan pencen bagi mereka yang bersara sebelum 1 Januari 2013,

“Pendirian kerajaan adalah bahawa pelarasan pencen telah dilaksanakan secara sewajarnya seperti yang diarahkan oleh Mahkamah Tinggi baru-baru ini,” katanya dalam Penggulungan Titah Diraja Di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohamed Khaled turut menjelaskan bahawa tuntutan kedua berkaitan penyelarasan pencen semua pesara ATM sebelum 1 Januari 2013 mengikut kadar dan kaedah sama seperti mereka yang bersara selepas tarikh tersebut.

Dalam hal ini, beliau menegaskan bahawa formula, kaedah, cara, dan kadar pencen sebelum dan selepas 1 Januari 2013 adalah sama dan tidak mengalami sebarang perubahan mengikut peraturan Angkatan Tetap 1982.

Memandangkan kerajaan berpendirian bahawa pelarasan pencen telah dilaksanakan dengan betul, kerajaan kini menunggu ketetapan dan pencerahan daripada Mahkamah Rayuan mengenai keputusan Mahkamah Tinggi yang menyatakan tiada pelarasan pencen berlaku.

“Kita hendak memahami dengan jelas keputusan Mahkamah Rayuan kerana kes ini adalah kes interpretasi undang-undang,

“Kerajaan memerlukan panduan dan perintah mahkamah mengenai maksud keputusan Mahkamah Tinggi bahawa tidak wujud pelarasan pencen dan maksudnya dalam konteks kadar dan cara penyelarasan pesara selepas 1 Januari 2013,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, Mahkamah Rayuan memaklumkan, isu berkenaan pelarasan pencen pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menamatkan perkhidmatan sebelum 1 Januari 2013, yang sebelum ini ditangguhkan, telah ditetapkan semula pada 6 Mei.

Tarikh tersebut diumumkan dalam sesi pengurusan kes di Mahkamah Rayuan hari ini di hadapan Timbalan Pendaftar, Mohd Syafiq Mustaza pada 3 Februari lalu.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled memberi jaminan bahawa kerajaan akan mematuhi dan mengikut perintah yang bakal dikeluarkan oleh Mahkamah Rayuan pada Mei nanti.

Selain itu, sekiranya kerajaan menang dalam rayuan ini, pelarasan pencen yang telah diberikan sebelum ini tidak akan terkesan atau ditarik balik.-airtimes.my

#pertahanan #veteranATM #pencen #pelarasan #Mindef #airtimes

Related Articles

Leave a Reply