Home Semasa Warga Indonesia paling ramai diusir keluar Malaysia – Menteri Dalam Negeri

Warga Indonesia paling ramai diusir keluar Malaysia – Menteri Dalam Negeri

by Suraya Aziz

KUALA LUMPUR, 18 FEB – Warganegara Indonesia mencatat jumlah tertinggi dalam kalangan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang dihantar pulang dari Malaysia setakat 21 Januari 2025.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, seramai 1,080 warga Indonesia telah dihantar pulang daripada keseluruhan 2,581 PATI yang dideportasi sepanjang tempoh berkenaan.

“Selain Indonesia, Myanmar mencatatkan 399 kes, manakala Bangladesh mencatat 301 kes, sementara baki 801 orang terdiri daripada warga pelbagai negara lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam penyataan lisan bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik, mengenai jumlah PATI yang telah dihantar pulang ke negara asal di Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) komited melaksanakan operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi mempergiatkan inisiatif pengusiran PATI ke negara asal masing-masing.

“Kerjasama erat dengan pihak perwakilan asing sedang diperkukuh bagi mempercepatkan urusan dokumentasi, terutama bagi PATI yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri,” jelasnya lagi.

Sementara itu, bagi menangani isu warga asing tanpa kewarganegaraan (stateless) pula, beliau menjelaskan bahawa kategori ini terbahagi kepada dua golongan utama, iaitu pelarian dan bukan pelarian.

“Untuk menentukan status pelarian, mereka perlu melalui proses penilaian dan pengesahan yang ditetapkan kerajaan. Jika disahkan sebagai pelarian, mereka akan tertakluk kepada proses penempatan semula (resettlement) ke negara ketiga,” tambahnya. -airtimes.my

#Malaysia #KDN #PATI #Ceroboh #wargaasing #Airtimes

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?