KUALA LUMPUR, 17 FEB – Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) bakal menerima empat kenderaan pengangkut berperisai (APC) jenis IAG Guardian Extreme 4×4 yang dibekalkan oleh anak syarikat Kumpulan Weststar iaitu Global Komited Sdn. Bhd.
Perolehan kenderaan perisai tersebut telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) dan bakal digunakan oleh PGA untuk mempertingkatkan tahap keselamatan negara terutamanya bagi mengekang pencerobohan di sempadan negara.
Pihak PDRM memaklumkan, Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Razarudin Husain telah menghadiri sesi Pra-Pemeriksaan Penghantaran (PDI) empat buah kenderaan perisai di International Armoured Group (IAG), Emiriah Arab Bersatu, semalam.
Jelasnya, lawatan berkenaan bertujuan memastikan kenderaan tersebut memenuhi spesifikasi yang ditetapkan sebelum penghantaran ke depoh kenderaan PDRM.
“Lawatan pemeriksaan yang bermula pada 15 hingga 19 Februari itu diadakan bagi memastikan kenderaan yang dibekalkan oleh pembekal (Global Komited Sdn. Bhd.) adalah mematuhi spesifikasi yang ditetapkan sebagaimana dalam perjanjian sebelum sesi penghantaran dan pemeriksaan akhir di depoh kenderaan PDRM,” katanya menerusi Facebook rasmi PDRM.
Dalam pada itu, IAG Guardian Extreme 4×4 yang bakal diperoleh ini merupakan varian terkini dengan konfigurasi lima pintu yang boleh memuatkan sehingga 10 penumpang dan 2 kru.
Turut hadir dalam sesi pemeriksaan ialah Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam (KDNKA), CP Dato’ Sri Azmi Abu Kassim, serta wakil dari Jabatan Logistik dan Teknologi (JLog) Bukit Aman dan Global Komited Sdn. Bhd.
Penyerahan rasmi kenderaan dijangka berlangsung dalam masa terdekat sebelum diserahkan kepada PGA untuk operasi keselamatan. -airtimes.my
#Pertahanan #Asetkeselamatan #PGA #PDRM #Malaysia #IAGGuardianExtreme