KUCHING, 17 Feb – Kementerian Pertahanan (MINDEF) terus memperkasa kebajikan anggota tentera melalui pembangunan dan projek menaik taraf Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Kem Muara Tuang serta Kem Penrissen.
Projek ini bertujuan memastikan kesejahteraan anggota dan keluarga mereka melalui kemudahan perumahan yang lebih moden serta selesa.
Perkara tersebut dizahirkan dengan lawatan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali, yang telah melakukan tinjauan ke lokasi projek ini bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.
Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat (PMT TD) memaklumkan, di Kem Muara Tuang, projek ini melibatkan pembinaan 190 unit rumah yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti surau, tadika, taska, serta fasiliti sokongan lain.
“Setakat ini, kemajuan fizikal projek menunjukkan prestasi yang baik dengan peratusan pembinaan fizikal sebenar melebihi peratus kemajuan yang dijadualkan,” jelas pihak PMT TD dalam hantaran di laman media sosialnya, pada Isnin.
Sementara itu, di Kem Penrissen, tumpuan diberikan kepada peningkatan dan ubah suai 60 unit rumah RKAT Kelas G yang melibatkan lima blok perumahan.
“Kerja-kerja peningkatan ini bertujuan untuk meningkatkan kualiti hidup anggota tentera dan keluarga mereka dengan menyediakan ruang yang lebih selesa dan fasiliti yang lebih baik,
“Anggaran kos keseluruhan projek ini mencecah RM 14.75 juta dan dijangka siap pada penghujung Februari 25,” jelas hantaran itu lagi.
Selain itu, Lokman Hakim turut mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak mengenai isu-isu tanah MINDEF di Sarawak.
Pertemuan ini adalah testimoni kerjasama erat antara MINDEF dengan Kerajaan Negeri Sarawak demi memastikan kebajikan anggota tentera sentiasa terpelihara pada sebilang masa.
Lawatan kerja KSU ini mencerminkan komitmen berterusan MINDEF dalam memperkukuh kebajikan anggota tentera melalui pembangunan infrastruktur yang lebih baik.
Projek perumahan ini bukan sahaja meningkatkan taraf hidup anggota tentera, malah memastikan mereka dan keluarga berada dalam keadaan selesa serta terjamin.
Turut serta dalam lawatan ini adalah Panglima Medan Timur Tentera Darat (PMT TD), Leftenan Jeneral Datuk Mohd Sofi Md Lepi, serta pegawai kanan dari MINDEF.-airtimes.my
#pertahanan #RKAT #rumahkeluarga #airtimes #Sarawak #TDM