Home Semasa Tiada diskriminasi lelaki dan wanita untuk kenaikan pangkat dalam tentera

Tiada diskriminasi lelaki dan wanita untuk kenaikan pangkat dalam tentera

by Suraya Aziz

KUALA LUMPUR, 12 FEB – Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari menegaskan, tiada diskriminasi antara anggota lelaki dan wanita dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkaitan peluang kenaikan pangkat.

Beliau berkata, kenaikan pangkat dalam ATM adalah berdasarkan merit, keupayaan serta peningkatan kemahiran dan pengetahuan anggota tanpa mengira jantina.

“Dari segi penjawatan memang kita memberikan ruang. Dan kita boleh melihat bahawa dalam konteks Angkatan Tentera Malaysia, ada beberapa aspek yang wanita pelibatannya agak tinggi. Contohnya dalam sudut pentadbiran dan perkhidmatan kesihatan.

“Jadi peluang kepada anggota wanita di ATM untuk dilaksanakan kenaikan pangkat adalah terbuka berdasarkan keupayaan mereka. Peningkatan kepada pengetahuan juga boleh memberikan jaminan kepada peningkatan dalam tugas dan juga pangkat,

“Sebab itu kalau kita lihat tak ada diskriminasi, sama ada kepada wanita mahupun kepada lelaki,” katanya pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr. Siti Mastura Muhammad berkaitan faktor dan peluang kenaikan pangkat anggota wanita dalam Angkatan Tentera Malaysia berbanding anggota lelaki, di Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, Adly berkata, kerajaan komited untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam ATM melalui pelbagai inisiatif memandangkan ATM kekurangan sekitar 2 peratus daripada jumlah keseluruhan 10 peratus yang disasarkan dalam kertas putih pertahanan.

Ia termasuk promosi penglibatan wanita dan penggunaan teknologi dalam sektor ketenteraan, terutamanya dalam domain siber.

“Itu sebab kalau kita lihat melalui kertas putih pertahanan ini, kita dapat melihat beberapa aspek yang kita boleh tingkatkan lagi penglibatan wanita di ATM itu sendiri.

“Terutamanya dari segi penggunaan teknologi dan apatah lagi kalau kita lihat kepada domain siber kita, ruang kepada wanita amat terbuka luas. Kita mahu tingkatkan penglibatan wanita dalam ATM melalui promosi-promosi kerjaya tentera,” tambahnya.

Mengulas lanjut, Adly berkata, sehingga 31 Disember 2024, ATM mencatatkan seramai 9,550 anggota wanita berkhidmat dalam pelbagai cabang ketenteraan, dengan pecahan 6,574 daripada Tentera Darat, 1,953 daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan 1,023 daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Selain itu, seramai 222 anggota wanita ATM sedang berkhidmat di luar negara dalam misi kemanusiaan, misi pengaman di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), latihan ketenteraan bersama negara rakan strategik serta tugasan diplomatik ketenteraan. -airtimes.my

#ATM #Kementerianpertahanan #Anggotawanita #Airtimes #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?