IPOH, 12 FEB – Kontinjen Polis Perak menerima kepimpinan nombor satu yang baru apabila Datuk Noor Hisam Nordin, ketika ini Timbalan Ketua Polis Pahang dilantik ke jawatan tersebut.
Beliau mengetuai Polis Perak dengan memangku pangkat Komisioner Polis (CP).
Pelantikan itu diumumkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang turut membabitkan pertukaran 35 pegawai kanannya berkuat kuasa 10 Mac ini.
Beliau menggantikan penyandang sebelumnya, Datuk Azizi Mat Aris yang bersara wajib pada November lepas.
Sebelum meniti karier jauh dalam PDRM, Noor Hisam merupakan pegawai pasukan khas PDRM, 69 Komando di Kem Ulu Kinta, Ipoh.
Justeru, pelantikan Noor Hisam sebagai Ketua Polis Perak umpama sirih pulang ke gagang apabila kembali semula ke bumi Darul Rizduan.
Noor Hisam menjadi Ketua Polis Perak kedua selepas CP Dato’ Sri Mohd Yusri Hj. Hassan Basri yang mempunyai latar belakang dalam pasukan khas.
Ini kerana Mohd Yusri yang kini Pengarah
Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman merupakan bekas pegawai Unit Tindakhas (UTK).
Beliau pernah dilantik sebagai Ketua Unit Gempur UTK Bukit Aman dan Pegawai Keselamatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.
Noor Hisam juga memiliki pendalaman luas sepanjang lebih 30 tahun berkhidmat dalam PDRM.
Sebelum menjadi Timbalan Ketua Polis Pahang pada Jun 2023, beliau merupakan Komandan Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur.
Antara jawatan kanan lain yang pernah disandang beliau ialah Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Pahang dan Timbalan Ketua Staf Operasi Darat, Eastern Sabah Security Command (Esscom).
Noor Hisam juga pernah dilantik Timbalan Komander Pasukan Simpanan Persekutuan sebagai Asisten Komisioner dan di Bahagian Latihan Bukit Aman semasa berpangkat Superintendan.
Difahamkan, majlis serah terima tugas Ketua Polis Perak akan diadakan dalam masa terdekat bagi mengambil alih tugas itu yang dipangku Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #PDRM #Keselamatan #69Komando