Home Pertahanan dan Keselamatan Sewaan 28 helikopter: Saya skeptikal, jangan ada jawapan berhelah dari MINDEF – Ikmal

Sewaan 28 helikopter: Saya skeptikal, jangan ada jawapan berhelah dari MINDEF – Ikmal

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 12 FEB – Isu sewaan 28 buah helikopter oleh kerajaan Malaysia kini sekali lagi menjadi tumpuan di Parlimen.

Terbaharu, Ahli Parlimen Tanah Merah, Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz menyatakan beliau berasa skeptikal dengan keupayaan helikopter AW149 yang akan dibekalkan oleh syarikat Westar Aviation Services Sendirian Berhad.

Dalam hujah menjunjung kasih Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Ikmal mengajukan soalan kepada Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) untuk menyatakan AW149 yang dibekalkan oleh Westar mampu untuk melaksanakan tugas seperti helikopter Nuri dan EC725.

“Saya ingin bertanya kepada pihak MINDEFapakah helikopter AW149 yang akan dibekalkan Westar Aviation Services Sdn Berhad ini mampu melaksanakan tindakan basic (asas) iaitu tindakan underslung untuk mengangkut meriam artileri jenis 105mm pack howitzer yang sedang digunakan secara meluas oleh Tentera Darat Malaysia?

“Saya mohon Menteri Pertahanan sewaktu menggulung persoalan saya ini untuk tidak perlu menghuraikan panjang-panjang atau cuba menjawab secara helah kerana saya cuma minta beliau jawab ringkas saja,” katanya.

Dalam hujahnya juga, Ikmal menyatakan beliau ragu-ragu dengan kemampuan AW149 untuk melaksanakan tugas-tugas yang digariskan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Saya sangat skeptikal pesawat AW149 yang akan digunakan oleh ATM dalam kontrak GOCOM ini mampu dan berupaya melaksanakan tindakan kerja bersifat tempur,” ujar beliau.

Ikmal yang juga bekas Timbalan Menteri Pertahanan turut mempersoalkan mengapa MINDEF berpegang kepada naratif bahawa sewaan 28 helikopter ini adalah menjimatkan wang rakyat.

Sebelum ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Larut) dalam perbahasannya pada 4 Februari lalu meminta kerajaan untuk memberikan perincian kos sewa 28 helikopter AW149 kepada kerajaan.

Persoalan oleh Hamzah telah dijawab oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang menjelaskan perkara berkaitan sewaan 28 helikopter AW149 akan disentuh pada 20 Februari ini di Parlimen. – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #Pertahanan #GOCOM #Helikopter #AW149

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?