KUALA LUMPUR, 3 Feb – Kerajaan perlu mengambil tindakan tegas melalui saluran diplomatik, undang-undang dan pertahanan bagi memastikan hak kedaulatan serta kepentingan negara terpelihara walaupun hanya seketul batu karang di tengah lautan.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah, kerajaan perlu bijak dalam mengekalkan hubungan diplomatik dengan semua pihak dan meningkatkan kerjasama strategik dalam menangani isu serantau serta sempadan negara.
“Malaysia akan terus kukuh atas semangat kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri. Setiap tindakan dan keputusan mestilah dibincang secara sepakat demi masa depan rakyat dan negara,” titah baginda pada ucapan perasmian istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 hari ini.
Dalam pada itu, Sultan Ibrahim mahu Malaysia yang menjadi pengerusi ASEAN tahun ini menunjukkan keupayaan memimpin dan menentukan hala tuju rantau Asia Tenggara.
Baginda turut bertitah mahukan Malaysia kekal mendukung prinsip keamanan, menentang keganasan dan penindasan, merujuk kepada situasi di Gaza, Palestin,
“Peperangan di Gaza perlu segera ditamatkan dan keadilan undang-undang hendaklah dilaksanakan,” tegas baginda.-airtimes.my
#keselamatan #airtimes #DaulatTuanku #Parlimen #Malaysia