Home Semasa Ahli Parlimen benteng perpaduan, bukan ajen perpecahan rakyat – Titah Agong

Ahli Parlimen benteng perpaduan, bukan ajen perpecahan rakyat – Titah Agong

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 3 Feb – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah menegaskanbahawa Ahli Parlimen harus berperanan sebagai benteng perpaduan negara dan bukannya agen perpecahan rakyat.

Dalam titah perasmian di Parlimen hari ini, Sultan Ibrahim bertitah, Parlimen merupakan institusi tertinggi dalam sistem demokrasi negara yang berfungsi sebagai gelanggang pertemuan suara rakyat, tempat penggubalan undang-undang serta medan semak dan imbang ke atas pentadbiran negara.

“Ahli-ahli Yang Berhormat (YB) hendaklah menjadi benteng perpaduan negara dan bukannya ejen perpecahan rakyat.

“Parlimen bukanlah tempat untuk bertegang urat, memaki hamun atau menabur fitnah, sebaliknya ia adalah dewan yang mulia untuk membahaskan agenda kepentingan rakyat serta kemakmuran negara,” titah Seri Paduka di Dewan Rakyat, hari ini.

Baginda turut mengingatkan Ahli Parlimen agar tidak menjadikan politik sebagai medan perpecahan dengan hanya mementingkan parti atau kelompok sendiri.

“Hentikan tindakan bermain politik atas setiap isu dan jangan hanya mementingkan parti atau kelompok sendiri sahaja,” titah Baginda lagi.

Baginda turut menzahirkan penghargaan terhadap perubahan positif dalam persidangan Parlimen tahun lalu, di mana sebahagian besar Ahli Dewan menunjukkan sikap lebih sopan dan bertanggungjawab.

Namun, Baginda menegaskan bahawa masih ada segelintir yang sukar membuang tabiat lama.

“Tidak perlu saya senaraikan perangai buruk tersebut kerana saya percaya setiap ahli sedar dan tahu bagaimana menjaga tingkah laku masing-masing,” titah Baginda.

Selain itu, Baginda turut menghargai peranan semua pemimpin dalam mengekalkan kestabilan politik negara kerana ia telah menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan sosial.-airtimes.my

#semasa #Malaysia #DaulatTuanku #airtimes #parlimen #Dewanrakyat

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?