SEPANG, 2 Feb – Pelaksanaan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) akan diperluaskan di beberapa pintu sempadan utama negara termasuk Pulau Pinang dan Kota Kinabalu.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata setakat ini Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengenal pasti 141 pintu masuk negara merangkumi sempadan darat, laut dan udara.
“Jadi, kita akan atur keutamaan. Begitulah formula yang akan kita buat dalam menentukan keutamaan AKPS beroperasi di pintu masuk mana, termasuk Sabah dan Sarawak mengikut urutan keutamaan,
“Mengikut perancangan awal, kecenderungan kami adalah kalau pintu masuk udara ini adalah di lapangan terbang antarabangsa dahulu,
“Yang paling sibuk selain di sini (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA Terminal 1) adalah Pulau Pinang diikuti Kota Kinabalu,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran AKPS, hari ini.
Pelancaran AKPS disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, dan turut dihadiri Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.
Sementara itu, Saifuddin berkata, penubuhan AKPS tidak melibatkan perjawatan baharu, sebaliknya pegawai dan kakitangan agensi itu diserap daripada agensi kerajaan lain.
Jelasnya, sebanyak 12,000 kakitangan dijangka memperkukuhkan AKPS apabila ia beroperasi secara penuh kelak.
Selain JKDM, turut diserap ke dalam AKPS adalah pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara, Kementerian Kesihatan, Jabatan Pengangkutan Jalan, dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia.
Beliau berkata penubuhan AKPS juga tidak bertindih dengan fungsi dan peranan agensi penguat kuasa lain yang menjaga sempadan negara seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
“APMM jaga 590,000 kilometer sempadan perairan, itu tugas hakiki tapi belum merapati sempadan darat, laut dan udara. Di laut sana kegiatan menangkap ikan secara haram, penyeludupan barang, senjata dan dadah itu (di bawah bidang kuasa) APMM,
“Manakala AKPS pula akan memantau pergerakan keluar masuk di pintu sempadan negara,” ujarnya lagi.-airtimes.my
#keselamatan #Malaysia #KDN #airtimes