Home Pertahanan dan Keselamatan MALBATT 850-12 semarakkan keceriaan anak yatim di Ma’rub Orphanage

MALBATT 850-12 semarakkan keceriaan anak yatim di Ma’rub Orphanage

by Nurulhuda

MA’RUB, 2 Feb –  Batalion Malaysia (MALBATT) 850-12 telah mengadakan program kebajikan di Ma’rub Orphanage sebagai sebahagian daripada inisiatif Civil-Military Cooperation (CIMIC), bertujuan menyantuni anak-anak yatim serta memperkukuhkan hubungan kemasyarakatan.

Program ini bukan sahaja membawa keceriaan kepada penghuni rumah kebajikan tersebut, malah turut mencipta kenangan indah buat mereka.

Menurut pihak MALBATT 850-12, pelbagai aktiviti interaktif telah dianjurkan, termasuk pertandingan mewarna yang memberi peluang kepada anak-anak yatim mengekspresikan kreativiti mereka, serta persembahan tarian tradisional yang memperkenalkan budaya Malaysia kepada komuniti setempat.

Selain itu, permainan warisan seperti congkak turut diperkenalkan, membangkitkan semangat kemeriahan dan kebersamaan, jelas MALBATT 850-12 dalam hantaran di laman Facebooknya.

Dalam usaha memastikan kesejahteraan penghuni, program Medic Care Day turut dilaksanakan dengan menyediakan pemeriksaan kesihatan dan pergigian secara percuma.

Langkah ini bertujuan memastikan tahap kesihatan anak-anak yatim berada dalam keadaan terbaik, selain mendidik mereka tentang kepentingan penjagaan kesihatan.

Program ini juga menyaksikan sesi Key Leader Engagement (KLE) antara Komander MALBATT 850-12, Kolonel Johan Effendi Mohd Shalleh, dan Pengarah Ma’rub Orphanage, Mr. Ali Ahmad Hussein.

“Sesi ini bertujuan membincangkan usaha memperkukuhkan kerjasama jangka panjang antara MALBATT dan Ma’rub Orphanage, termasuk aspek bantuan kemanusiaan serta program pendidikan dan kebajikan yang dapat dilaksanakan bagi meningkatkan kesejahteraan anak-anak yatim, ujar kenyataan itu lagi.

Ma’rub Orphanage, yang telah beroperasi sejak tahun 1989, kini menjadi tempat perlindungan kepada 170 penghuni dari pelbagai latar belakang.

Institusi ini memainkan peranan penting dalam menyediakan pendidikan, pembangunan sahsiah, serta kasih sayang kepada anak-anak yang kehilangan tempat bergantung.

MALBATT 850-12 menegaskan komitmen mereka dalam meneruskan inisiatif kebajikan seperti ini pada masa hadapan.

Selain sebagai tanggungjawab sosial, usaha ini juga bertujuan memperkukuh hubungan antara pasukan pengaman dan komuniti setempat di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).-airtimes.my

#pertahanan #airtimes #MALBATT #Malaysia #Lubnan

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?