KUALA LUMPUR, 18 Jan – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan seramai 76 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan awal pagi semalam di 2 lokasi utama di Selangor, iaitu Shah Alam dan Kajang.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, warga asing yang ditahan atas pelbagai kesalahan itu terdiri daripada rakyat Bangladesh, Nepal, Myanmar, Indonesia, Pakistan dan India.
“Dalam operasi ini, seramai 374 warganegara asing telah diperiksa dan hasilnya seramai 76 orang PATI yang berumur di antara 20 hingga 55 tahun telah ditahan atas pelbagai kesalahan,
“Mereka yang ditahan terdiri daripada warganegara Bangladesh, Nepal, Myanmar, Indonesia, Pakistan dan India,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Zakaria berkata, kesemua warga asing itu ditempatkan di Depot Imigresen Pekan Nenas, Johor untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966 kerana kesalahan tiada dokumen pengenalan diri dan tinggal lebih masa.
Menurutnya, operasi yang melibatakan seramai 113 pegawai dari pelbagai bahagian JIM ini adalah susulan aduan awam berhubung PATI yang disyaki tinggal di penempatan tersebut tanpa memiliki pas dan dokumen pengenalan diri yang sah.-airtimes.my
#semasa #pekerjaasing #Malaysia #JIM #imigresen #airtimes