Home Semasa Gencatan senjata di Gaza: Permulaan pembebasan dan kemerdekaan mutlak Palestin

Gencatan senjata di Gaza: Permulaan pembebasan dan kemerdekaan mutlak Palestin

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 18 Jan – Perjanjian gencatan senjata yang dicapai antara Israel dan Hamas baru-baru ini dianggap sebagai langkah awal ke arah pembebasan dan kemerdekaan mutlak Palestin.

Timbalan Presiden AMANAH, Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menyifatkan, perkembangan ini sebagai isyarat kemenangan perjuangan rakyat Palestin yang tidak pernah gentar menghadapi kezaliman rejim Zionis Israel.

“Gencatan senjata yang disepakati antara Israel dan Hamas menandakan kemenangan awal perjuangan rakyat Palestin ke atas regim Zionis Israel yang ganas lagi kejam,

“Hakikatnya, regim Zionis Israel terpaksa mengalah kepada rakyat Palestin yang menunjukkan keberanian luar biasa mempertahankan maruah bangsa dan tanah airnya,

“Rakyat Gaza tetap berdiri teguh memaksa musuh-musuh mereka melaksanakan gencatan senjata selama 42 hari,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau menegaskan bahawa rakyat Palestin bukan sahaja mempertahankan tanah air mereka, tetapi juga menjadi pelindung Masjidil Aqsa, simbol perjuangan umat Islam sedunia.

Walaupun hampir 45,000 rakyat Palestin, termasuk wanita dan kanak-kanak, terkorban sejak Oktober 2023, perjuangan mereka terus membakar semangat solidariti di seluruh dunia.

Dr Mujahid turut memuji kebangkitan masyarakat antarabangsa, termasuk protes besar-besaran di Amerika Syarikat, United Kingdom, dan beberapa negara Barat lain, yang semakin lantang menuntut pembebasan Palestin.

Tindakan beberapa negara, seperti Ireland, Brazil, dan Venezuela, yang memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel dianggap sebagai tamparan hebat kepada rejim Zionis di arena global.

Di peringkat domestik, beliau memuji kepimpinan Malaysia di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang lantang membawa isu Palestin ke pentas antarabangsa, termasuk di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Malaysia juga terus mendesak bantuan kemanusiaan diberikan laluan segera bagi membantu rakyat Palestin yang terkesan akibat peperangan.

AMANAH turut menyeru semua pihak, termasuk NGO dan badan kemanusiaan, untuk memanfaatkan gencatan senjata ini dengan menyegerakan penghantaran bantuan ke Gaza. “Marilah kita semua yakin bahawa pembebasan Palestin dan Masjidil Aqsa adalah satu langkah penting ke arah keamanan sejagat,” tambah Dr Mujahid.

Dalam kenyataan yang sama, beliau turut memetik ayat Al-Quran dari Surah Al-Isra, ayat 6, sebagai peringatan tentang janji kemenangan untuk mereka yang gigih berjuang.-airtimes.my

#airtimes #semasa #Palestin #Gaza #Malaysia #genjatansenjata

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?