KUALA LUMPUR, 10 DIS – Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menolak dakwaan bahawa beliau telah mengkhianati negara sehingga menyebabkan Malaysia kehilangan Batu Puteh.
Bekas Perdana Menteri itu mempersoalkan bagaimana beliau boleh dilabelkan sebagai pengkhianat berikutan keputusan untuk tidak meneruskan semakan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
“Saya tidak mendapat apa-apa keuntungan peribadi tetapi negara mendapat Batuan Tengah,” katanya semasa sidang media di Yayasan Perdana, Putrajaya, hari ini.
Menurut Tun M, keputusan untuk berhubung semakan dan tafsiran terhadap keputusan ICJ yang menganugerahkan Batu Puteh kepada Singapura dan Batuan Tengah kepada Malaysia telah dibincangkan kepada kabinet.
“Proses untuk membuat keputusan telah dilakukan dengan teliti,
“Sekiranya saya pengkhianat, maka semua ahli kabinet (pada masa itu), termasuk Timbalan Perdana Menteri (Wan Azizah) pun sama pengkhianat,” katanya.
Terdahulu, laporan RCI berhubung Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan telah mengesyorkan satu laporan polis dibuat terhadap Tun M bagi melaksanakan siasatan jenayah terhadap beliau.
Laporan itu turut mendapat komen daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan sebarang kesalahan yang terbabit dalam menyerahkan kedaulatan negara kepada pihak luar merupakan satu pengkhianatan besar kepada tanah air.
Tun M dalam satu kenyataan menegaskan keputusan untuk tidak meneruskan Semakan dan Tafsiran berhubung Batu Puteh merupakan satu keputusan yang dibuat Kabinet.
“Kalau tidak percaya sila bertanya pada mereka yang hadir pada mesyuarat Kabinet dan rujuk cabutan minit mesyuarat Jemaah Menteri 23.5.2018. 20,
“Saya juga ingin bertanya, pada masa keputusan ini dibuat mengapa Mohamad bin Sabu, Anthony Loke, Gobind Singh dan Dr. Dzulkefly bin Ahmad tidak berkata apa-apa?
“Atau adakah mereka bersetuju seperti mereka bersetuju Kabinet Anwar Ibrahim teruskan dengan RCI dan bentang di Parlimen Laporan RCI ini?
“Perdana Menteri baru-baru ini menyatakan isu ini adalah pengkhianatan.
“Kalau begitu mulai Mei 2018 hingga Februari 2020 tidakkah Wan Azizah bercakap mengenai “Pengkhianatan” ini?
“Bukankah Wan Azizah TPM pada saya dan isteri Perdana Menteri sekarang?” soal Tun M.
Bekas Perdana Menteri itu turut menegaskan keputusan untuk tidak meneruskan rayuan dan semakan kepada ICJ merupakan satu langkah untuk mengelakkan Malaysia kehilangan lebih banyak dari Batu Puteh.
“Keputusan untuk tidak meneruskan rayuan adalah atas nasihat kumpulan pakar,” katanya. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #Semasa #BatuPuteh
