Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), kini melangkah ke arah pengukuhan kapasiti pertahanan negara dengan perolehan aset strategik yang dinanti-nantikan, iaitu 2 pesawat Maritime Patrol Aircraft (MPA) dan 3 sistem pesawat tanpa pemandu Medium Altitude Long Endurance – Unmanned Aerial System (MALE-UAS).
Perolehan ini melibatkan kontrak bersama negara berbeza iaitu syarikat Leonardo dari Itali dan Turkish Aerospace Industries (TUSAS).
Dijangka diterima antara tahun 2025 hingga 2026, kesemua pesawat ini akan memainkan peranan penting dalam memperkukuh keselamatan negara, khususnya di kawasan perairan Laut China Selatan yang menjadi tumpuan dunia.
Untuk makluman, proses perolehan pesawat jenis ATR-72 MPA dan ANKA MALE-UAS bukanlah satu langkah tergesa-gesa.
Proses perolehan kedua-dua aset ini telah dirancang dengan teliti sejak pelancaran pelan Capability 55 (CAP55) pada tahun 2020, yang bertujuan memodenkan keupayaan TUDM menjelang 2055.
Selain MPA dan MALE-UAS, menjelang 2027 TUDM dijangka turut memperoleh beberapa aset tambahan. Antaranya adalah 18 buah pesawat tempur ringan (LCA) FA-50 block 20 sebagai langkah memperkukuh pertahanan udara negara.
Pesawat ini bakal menggantikan pesawat-pesawat lama seperti Hawk 108/208 dan MB-339CM yang bakal ditamatkan perkhidmatan secara berfasa, masing-masing pada 2027 dan 2028.
Selain itu, terdapat perancangan untuk mendapatkan pesawat FA18 Legacy Hornet milik Kuwait Air Force (KAF) dan menambah baik sistem radar pertahanan udara melalui perolehan radar jarak jauh (LRR) tambahan bagi meningkatkan keupayaan pemantauan di luar kawasan EEZ (Zon Ekonomi Eksklusif) Malaysia.
Mengulas lanjut, aset ATR-72 MPA ialah pesawat turboprop berkembar yang dibangunkan oleh syarikat Leonardo untuk misi kompleks termasuk pengawasan maritim, peperangan anti-kapal selam (ASW), peperangan unit anti-permukaan (AsuW), cari dan menyelamat ( SAR), pemantauan alam sekitar, pemindahan perubatan serta pengangkutan kakitangan dan bahan.
Manakala sistem pesawat tanpa pemandu ANKA MALE-UAS pula memberikan TUDM keupayaan risikan, pengawasan, dan pemantauan (ISR) jarak jauh, dengan kemampuan beroperasi di altitud sederhana untuk tempoh penerbangan yang panjang.
Malaysia dipercayai memilih varian “Anka-S” yang berupaya terbang selama 24 hingga 30 jam tanpa henti.
Difahamkan, dron ini juga mampu membawa muatan 250 hingga 350 kilogram termasuk empat peluru berpandu MAM Smart Micro yang dibangunkan oleh satu lagi syarikat pertahanan Turki, Roketsan untuk misi serangan darat.
Kesemua aset ini bukan sesuatu yang belum diuji keberkesanannya. Malah telah digunakan secara meluas di peringkat antarabangsa.
Sebagai contoh, pesawat Boeing P-8 Poseidon digunakan oleh Amerika Syarikat, India, dan Australia untuk pengawasan maritim jarak jauh dan operasi anti-kapal selam. Model seperti ATR-72 MP pula digunakan oleh Itali dan Turki untuk rondaan maritim dan operasi SAR.
Dalam kategori MALE-UAS pula, sistem MQ-9 Reaper digunakan oleh Amerika Syarikat, Perancis, dan Itali manakala pesawat Bayraktar TB2 dari Turki pula menjadi aset strategik bagi Ukraine dan Azerbaijan dalam operasi pemantauan dan serangan jarak jauh.
Oleh yang demikian, pemilikan aset ini adalah strategik untuk mengukuhkan kedaulatan tanah air. Malaysia terletak di lokasi strategik, dikelilingi oleh Laut China Selatan, Selat Melaka, Laut Sulawesi dan Laut Sulu.
Kawasan ini menjadi laluan penting perdagangan antarabangsa dan sering berdepan ancaman seperti penyeludupan, pencerobohan wilayah serta lanun.
Dengan kehadiran aset baharu yang lebih canggih, TUDM diramal akan berhasil meningkatkan keupayaan pemantauan maritim negara sekali gus meminimakan risiko penugasan misi kepada petugas lapangan khususnya Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Penantian yang hampir tamat ini diharap mampu memenuhi jangkaan dan menyumbang kepada kesiapsiagaan negara dalam menangani ancaman moden serta memastikan kedaulatan Malaysia terus terpelihara. -airtimes.my
#PertahananDanKeselamatan #TUDM #Malaysia #Aset #AirTimes