MELBOURNE, 10 Dis – Malaysia dan Australia komited untuk terus memperkukuhkan kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara pada masa hadapan.
Perkara itu dizahirkan oleh Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tinggi (HLC) bagi Program Pertahanan Bersama Malaysia-Australia (MAJDP) ke-4, hari ini.
Mesyuarat tersebut turut dipengerusikan bersama Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pertahanan Australia, TYT Richard Marles.
Dalam mesyuarat tersebut, beberapa isu utama telah dibincangkan, antaranya hubungan pertahanan sedia ada dan kerjasama masa depan antara kedua-dua negara.
Kerjasama pertahanan sedia ada
Kedua-dua negara menekankan hubungan pertahanan sedia ada yang melibatkan Operasi Gateway, eksesais HARINGAROO dan Keris Strike, Five Power Defence Arrangements (FPDA), serta MAJDP sendiri.
“Kedua-dua buah negara menghargai sumbangan masing-masing dalam konteks pengukuhan kerjasama sedia ada,” jelasnya menerusi hantaran di laman Facebooknya hari ini.
Kerjasama masa depan
Dalam membincangkan kerjasama masa depan, kedua-dua negara memfokuskan kepada pembangunan doktrin pertahanan, keselamatan siber, dan kecerdasan buatan (AI).
“Kedua-dua buah negara turut membincangkan soal pembangunan ketumbukan siber yang dilihat penting kini,” tambah beliau.
Isu geopolitik dan peranan Malaysia di ASEAN
Selain itu, isu dan perkembangan geopolitik serta pertahanan di ASEAN dan dunia turut dibincangkan.
Malaysia, yang akan memegang jawatan sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun hadapan, turut menerima pengiktirafan daripada Australia atas peranan penting negara ini dalam memeta hala tuju ASEAN.
“Australia mengiktiraf peranan yang dimainkan Malaysia dalam memeta ASEAN yang dilihat berfungsi dengan cukup baik dan negara tersebut akan sentiasa memberikan perhatian terhadapnya,” jelasnya lagi.
Pelan kerjasama lima tahun
Kedua-dua negara bersetuju untuk memperkemas rancangan kerjasama pertahanan dalam pelan lima tahun ke hadapan, termasuk usaha untuk meningkatkan keupayaan dalam domain maritim serta pembangunan kapasiti pertahanan Malaysia.-airtimes.my
#pertahanan #Malaysia #Australia #KhaledNordin #ATM #airtimes