Home Pertahanan dan Keselamatan PMTTD: Cerminan komitmen ATM dalam menjamin kestabilan Wilayah Timur

PMTTD: Cerminan komitmen ATM dalam menjamin kestabilan Wilayah Timur

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 11 Dis – Penubuhan Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat (PMTTD) sepuluh tahun lalu di Kem Muara Tuang membuktikan komitmen Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam memastikan kestabilan Wilayah Timur Malaysia.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab. Rahman menegaskan, PMTTD turut memainkan peranan strategik dalam memastikan wilayah ini kekal sejahtera.

Beliau turut menyeru warga PMTTD untuk terus komited melalui latihan berkesan, penguasaan kemahiran khusus, dan pengukuhan kerohanian serta jati diri sebagai persediaan menghadapi pelbagai cabaran.

“Kerjasama erat bersama kerajaan negeri dan agensi awam perlu diperkukuh menerusi pendekatan ‘Whole of Government and Whole of Society’ (WoGoS) seperti yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan,” ujar beliau.

Panglima Angkatan Tentera berkata demikian semasa ucapanya sempena lawatan rasmi ulung beliau ke PMTTD, pada Selasa.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab. Rahman semasa berucap kepada warga PMTTD sempena lawatan kerja rasmi ulungnya di Kem Muara Tuang, pada Selasa. Foto: MK ATM

Terdahulu, Panglima Angkatan Tentera menerima tabik hormat dan pemeriksaan Kawalan Kehormatan Utama (KKU) oleh Batalion Ke-20 Rejimen Askar Melayu Diraja di Padang Kawad Kem Muara Tuang sebelum menghadiri Taklimat Eksekutif di Markas PMTTD yang disampaikan oleh Ketua Staf Markas Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Zaidan Atan.

Semasa lawatan, Panglima Angkatan Tentera bersama Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT ATM, Puan Sri Ramlah Dawi, menyantuni warga PMTTD serta menyampaikan sumbangan kebajikan bernilai RM9,500 kepada 6 penerima yang terdiri daripada anggota dan keluarga yang menghidapi penyakit kronik.

Turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, serta beberapa pegawai kanan ATM dan Tentera Darat.

Menurut Markas ATM, lawatan ini menepati Perintah Ulung PAT, terutamanya dalam teras memperkasakan keupayaan dan kesiagaan menuju Angkatan Masa Hadapan (AMH), selain memupuk modal insan yang positif dan progresif.-airtimes.my

#PMTTD #TDM #ATM #airtimes #pertahanan #Sarawak #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!