Home SemasaGenjatan senjata Lubnan: Usaha awal kembalikan keamanan di Timur Tengah

Genjatan senjata Lubnan: Usaha awal kembalikan keamanan di Timur Tengah

by Nurulhuda
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 28 Nov – Perjanjian gencatan senjata di Lubnan disifatkan sebagai usaha awal yang penting ke arah mengurangkan ketegangan dan mengembalikan keamanan serta kestabilan di Timur Tengah.

Menyambut baik perkembangan positif itu, Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam kenyataan memaklumkan, Malaysia menggesa semua pihak untuk menghormati dan mematuhi syarat gencatan senjata berkenaan.

“Malaysia mengulangi gesaan untuk menghormati undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang berkaitan,

“Ia termasuk Resolusi 1701 (2006), perlindungan ke atas orang awam dan akses bantuan kemanusiaan tanpa halangan kepada rakyat Lubnan yang telah menderita akibat konflik yang berpanjangan,” jelas Wisma Putra.

Dalam masa yang sama, Malaysia menggesa agar gencatan senjata pada kadar segera dan kekal di Gaza juga perlu dilaksanakan termasuk memulihkan semula akses tanpa sekatan kepada bantuan kemanusiaan.

Menurut Wisma Putra, keamanan di Timur Tengah hanya akan dicapai apabila wujudnya Palestin yang merdeka, bebas dan berdaulat.

Sebelum ini, media melaporkan, Israel dan Lubnan telah menerima perjanjian gencatan senjata untuk menamatkan pertempuran dengan kumpulan pejuang Hizbullah berkuat kuasa pada Rabu, 4 pagi (waktu tempatan) selama 60 hari.

Di bawah perjanjian itu, Israel perlu mengundurkan semua tentera rejim secara beransur-ansur dari selatan Lubnan dalam tempoh 60 hari tersebut.

Hizbullah pula akan menamatkan kehadiran ketenteraannya di kawasan sempadan di selatan Sungai Litani.

Tentera Lubnan pula bertanggungjawab menjaga keselamatan di kawasan selatan Lubnan. -airtimes.my

#Malaysia #Palestin #serangan #semasa #airtimes #TimurTengah #Lubnan #genjatansenjata

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply