KUALA LUMPUR, 28 Nov – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengaturgerak aset dan anggota bagi membantu penduduk di kawasan-kawasan yang terjejas banjir.
Kementerian Pertahanan (MINDEF) memaklumkan, Tentera Darat Malaysia (TDM) melalui Batalion Ke 18 Rejimen Askar Melayu Diraja (18 RAMD) (PARA) Kem Seri Pantai Kuala Nerus telah diaturgerak ke daerah Hulu Terengganu dan Dungun bagi membantu serta menyelamat penduduk yang terjejas sejak semalam.
Menurutnya, semua aturgerak aset dan anggota telah dikoordinasikan bersama agensi yang berkaitan bagi memastikan keselamatan orang awam sentiasa terjaga serta terpelihara pada musim tengkujuh ini.
“Tinjauan serta pemantauan yang berterusan di kawasan berisiko banjir sentiasa dilaksanakan selain daripada inisiatif yang diambil untuk mengenal pasti rumah yang diduduki oleh warga emas dan kurang upaya,
“Disamping itu, pasukan juga turut memberi bantuan dalam menghubungkan laluan yang tidak boleh dilalui akibat limpahan air sungai kepada masyarakat setempat dengan menggunakan aset kenderaan dan bot,” jelas MINDEF dalam hantaran di media sosialnya, hari ini.
Pada waktu yang sama, Forward Medical Team 18 RAMD (Para) yang diketuai okeh Kapten (Dr) Izzul Islam Bakri juga telah diaturgerak untuk bersama pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk melaksanakan pemeriksaan kesihatan di kawasan yang terjejas teruk iaitu di daerah Hulu Terengganu dan Marang.
Sehingga jam 2 petang ini, seramai 47,327 mangsa banjir membabitkan 14,413 keluarga kini ditempatkan di 386 pusat pemindahan sementara (PPS) di 6 negeri.
Data Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan, Kelantan merekodkan jumlah paling ramai dengan 38,602 mangsa di 10 daerah.
Jumlah itu membabitkan 11,655 keluarga yang berlindung di 183 PPS setakat ini.
Terengganu pula mencatatkan seramai 7,573 mangsa daripada 2,339 keluarga di 184 PPS, diikuti Kedah dengan 839 mangsa di 14 PPS, Perlis (265 mangsa, 3 PPS), Johor (28 mangsa, 1 PPS) dan Perak (20 mangsa, 1 PPS).-airtimes.my
#pertahanan #ATM #banjir #opmurni #airtimes #terengganu
