Home SemasaKDN: Tiada bukti kukuh pegawai kerajaan, pemimpin politik terlibat GISBH

KDN: Tiada bukti kukuh pegawai kerajaan, pemimpin politik terlibat GISBH

by Nurulhuda
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 17 Okt – Tiada sebarang bukti kukuh setakat ini yang mengaitkan pegawai kerajaan atau pemimpin politik terlibat atau bersubahat dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagaimanapun menegaskan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak menolak sebarang kemungkinan, kerana siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih diteruskan daripada pelbagai sudut serta peruntukan undang-undang.

Beliau berkata demikian menerusi jawapan bertulis Dewan Rakyat bagi menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) sama ada terdapat pegawai kerajaan atau pemimpin politik terlibat atau bersubahat dengan GISBH serta adakah Suruhanjaya Siasatan Diraja diperlukan berhubung jenayah yang dikaitkan dengan organisasi berkenaan.

Saifuddin menjelaskan, pihak kementerian tidak bercadang menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung perkara berkenaan pada masa ini.

Tambahnya, pihak PDRM harus diberi ruang dan kepercayaan yang tinggi, memandangkan siasatan dan operasi yang dijalankan PDRM masih berjalan bagi menjejak saki baki pengikut kelompok itu.

“PDRM juga sedang membuat pemantauan terhadap kegiatan GISBH di luar negara,” tambah beliau.

Saifuddin menegaskan, jika terdapat sebarang pelanggaran undang-undang, tindakan akan diambil menerusi kerjasama antarabangsa, termasuk melalui Mutual Legal Assistance (MLA) dan Akta Bantuan Bersama dalam Perkara Jenayah (MACMA) dengan sokongan Jabatan Peguam Negara dan Interpol.-airtimes.my

#KDN #semasa #GISBH #Malaysia #PDRM #airtimes

Related Articles

Leave a Reply