KUALA LUMPUR, 17 Okt – Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat esok dijangka akan memacu lagi pertumbuhan ekonomi negara dan memberi keadilan kepada rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian selepasa meninjau persiapan terakhir pembentangan Belanjawan MADANI 2025, di pejabatnya pagi tadi.
Menerusi hantaran di Facebooknya, Anwar yang juga Menteri Kewangan memuji kesiapsiagaan pasukan Belanjawan dan warga Kementerian Kewangan, yang menurutnya telah membuat persiapan rapi bagi memastikan belanjawan ini komprehensif dan teliti.
“Kendatipun sibuk merangka Belanjawan yang terangkum dan penuh teliti ini, saya gembira melihat keterujaan pasukan Belanjawan dan turut bergambar bersama mereka,
“Usai mengambil gambar-gambar kenangan, saya menandatangani dokumen-dokumen berkaitan Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan esok di Dewan Rakyat,” katanya lagi.
Anwar turut mengucapkan terima kasih kepada warga kerajaan serta semua pihak terlibat yang telah memerah keringat dan memberi cadangan bernas untuk menjayakan Belanjawan 2025.
Perdana Menteri dijadual akan membentangkan Belanjawan 2025 di Parlimen pada jam 4 petang esok.
Dengan tema ‘Ekonomi Madani Negara Makmur, Rakyat Sejahtera”, Belanjawan 2025 merupakan belanjawan ketiga dibentangkan di bawah Kerajaan MADANI pimpinan Anwar dan yang terakhir di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) sebelum beralih kepada Rancangan Malaysia Ke-13 untuk tempoh 5 tahun akan datang.-airtimes.my
#DSAI #anwar #Belanjawan2025 #airtimes #Malaysia
