Home SemasaCuti Sabtu Ahad: Tidak semua perkara perlu dipolitikkan – Onn Hafiz

Cuti Sabtu Ahad: Tidak semua perkara perlu dipolitikkan – Onn Hafiz

by Nurulhuda
A+A-
Reset

JOHOR BAHRU, 11 Okt – Kerajaan Negeri Johor menegaskan keputusan menukar cuti hujung minggu kepada Sabtu dan Ahad bermula Januari 2025 adalah demi kebaikan rakyat serta tidak seharusnya dijadikan isu politik oleh mana-mana pihak.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, perubahan cuti hujung minggu itu tidak seharusnya menjadi bahan politik yang boleh mengeruhkan keadaan sehingga menjejaskan keharmonian di negeri itu.

Menurutnya, kerajaan negeri menjunjung titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail atas pengumuman penukaran cuti berkenaan.

“Kerajaan Negeri berpandangan tidak semua perkara perlu dijadikan bahan politik. Setiap keputusan yang diambil ini adalah yang terbaik untuk negeri dan rakyat Johor secara keseluruhan,

“Insya-Allah, tanpa mengetepikan kepentingan urusan solat Jumaat, Kerajaan Negeri yakin keputusan ini bakal memberi manfaat kepada seluruh Bangsa Johor dimana mereka akan mendapat lebih masa berkualiti bersama ahli keluarga tersayang dengan memudahkan mereka merancang aktiviti pada hujung minggu,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau hari ini.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan agar semua pihak menghentikan spekulasi dan tidak menjadikan isu ini sebagai bahan politik yang boleh menggugat keharmonian di negeri Johor.

Beliau menjelaskan bahawa pandangan Mufti Johor dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri turut diambil kira, serta perubahan cuti ini tidak menjejaskan kedudukan Islam di Johor.

“Jika kita merenung firman Allah SWT di dalam Surah Al-Jumuah ayat 9 hingga 10, kita akan lebih tenang dalam memberi ulasan perihal yang sama,

“Hai orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk menunaikan solat pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu untuk mengingati Allah dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui. Apabila solat telah dilaksanakan, maka bertebaranlah kamu di muka bumi; dan carilah kurnia Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung,” katanya.

Ujarnya, inti pati firman tersebut memerintahkan umat Islam memperbesarkan syiar Islam dengan segera meninggalkan segala urusan bagi menunaikan solat Jumaat, serta diperintahkan untuk kembali bertebaran (termasuk kembali bekerja atau melakukan amal ibadah juga jariah) di atas muka bumi mencari apa yang dihajati, selagi bertepatan dengan landasan Islam.

Terdahulu, Tunku Mahkota Ismail bertitah menegaskan, mana-mana pihak yang tidak bersetuju dengan keputusan ini atas dasar kepentingan peribadi, mereka ‘dipersilakan pindah’ ke negeri yang masih bercuti pada Jumaat dan Sabtu.

Tegas baginda, pertukaran cuti hujung ini dibuat atas pertimbangan dan kehendak rakyat untuk meluangkan lebih masa bersama keluarga.

“Selain itu, perubahan cuti hujung minggu ini juga memberi kesan ekonomi positif seiring pelaksanaan projek pembangunan yang akan memberi manfaat, sekali gus membawa keuntungan kepada negeri dan rakyat,” titah Tengku Mahkota Ismail menerusi hantaran di laman Facebook rasmi baginda. -airtimes.my

#semasa #Johor #cutihujungminggu #airtimes #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply