Home Semasa Malaysia Rocket Competition (MRC) 2024 platform lahirkan saintis roket tanah air

Malaysia Rocket Competition (MRC) 2024 platform lahirkan saintis roket tanah air

Acara selama dua hari pada 4 dan 5 September ini diadakan di Institut Kepimpinan & Pembangunan (ILD) Perak & Felcra Seberang Perak.

by Zaki Salleh

IPOH, 3 SEPT – Malaysia Rocket Competition (MRC) 2024 anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan UiTM-MTC High Energy Material Research Laboratory (HEMREL) kembali untuk edisi kedua dengan tema ‘Launch Your Dream’

Ia membabitkan 45 pasukan terdiri daripada sekolah menengah dan universiti termasuk dari Indonesia, Singapura dan India.

Program ini bagi melahirkan generasi muda yang berpengetahuan di bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dengan mendalam.

Ia diadakan mengikut garis panduan pertandingan tahunan TEKNOFEST yang berlangsung di Turkiye.

Acara selama dua hari pada 4 dan 5 September ini diadakan di Institut Kepimpinan & Pembangunan (ILD) Perak & Felcra Seberang Perak.

Lokasi ini juga merupakan tapak pelancaran roket.

Setiap kumpulan yang bertanding diberi peluang untuk memperkenalkan hasil rekaan roket dan cansat pada 4 September mengikut kategori yang dipertandingkan untuk penilaian juri.

Bagi memastikan hasil rekaan roket dan cansat peserta ini mampu berfungsi, aktiviti  pelancaran roket dan cansat akan dijalankan di tapak pelancaran pada 5 September.

Juri-juri yang dilantik akan menilai pelancaran roket semasa pertandingan.

Tiga kategori utama dipertandingkan pada tahun ini iaitu Kategori 1: Roket 1 kilometer, Kategori 2: Roket 1 kilometer dan can-sized satellite manakala Kategori 3: Can-sized satellite yang diterbangkan oleh dron.

MRC 2024 bertujuan memberi pendedahan teknologi sains roket kepada pelajar dan memupuk minat mereka dalam bidang berkenaan agar tidak ketinggalan.

Ini bagi memacu pembangunan teknologi terkini dan diharapkan menjadi pemangkin kepada pembangunan kenderaan pelancar satelit buatan Malaysia suatu hari nanti. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?