Home Semasa Insiden Pulau Angsa: Kotak hitam helikopter APMM dihantar ke Itali

Insiden Pulau Angsa: Kotak hitam helikopter APMM dihantar ke Itali

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 30 Apr – Kotak hitam helikopter Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang melakukan pendaratan cemas di sekitar perairan Pulau Angsa, Kuala Selangor bulan lepas sudah dihantar ke Itali untuk dianalisis.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kotak hitam helikopter AW139 itu dihantar ke negara pengeluarnya berikutan terdapat kesan kerosakan yang memerlukan kepakaran syarikat berkenaan.

“Maklumat daripada analisis kotak hitam itu kemudian akan diberikan kepada jawatankuasa siasatan untuk tindakan lanjut,” katanya seperti dilapor Bernama.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis perjumpaan bersama warga APMM di Putrajaya, semalam.

Turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Pemangku Ketua Pengarah APMM Datuk Saiful Lizan Ibrahim.

Dalam kejadian 5 Mac lalu, helikopter yang membawa 4 kru iaitu Leftenan Komander Maritim Tengku Mohd Nizam Tengku Zakaria; Leftenan Komander Maritim Mohamad Azrol Saidi bersama seorang kru udara Pegawai Waran I Maritim John Ibno dan seorang Perenang Penyelamat, Bintara Maritim Muhamad Nurhayyat Hashim melakukan pendaratan cemas di Pulau Angsa, Kuala Selangor.

Bagaimanapun, usaha mencari kotak hitam pesawat itu berdepan kesukaran akibat arus deras di dasar laut, selain jarak penglihatan di dalam air yang terhad akibat dasar laut berlumpur.

Kota hitam terbabit akhirnya ditemui pada 17 April lalu, 44 hari selepas insiden itu berlaku.

Mengulas mengenai Op Khas Pagar Laut yang dilancarkan sempena Ramadan dan Syawal lepas pula, Saifuddin Nasution berkata APMM menahan 175 individu atas pelbagai kesalahan jenayah dan merampas barangan bernilai RM15 juta.

“Tangkapan dan rampasan ini melihatkan pentingnya APMM melakukan operasi khas bagi menjaga dan mengawasi perairan negara,” ujarnya lagi. -airtimes.my

Saifuddin Nasution berkata, kotak hitam helikopter AW139 itu dihantar ke negara pengeluarnya berikutan terdapat kesan kerosakan yang memerlukan kepakaran syarikat berkenaan.

#apmm #helikopter #Malaysia #Itali #keselamatan #airtimes

Related Articles

Leave a Reply