Home Pertahanan dan Keselamatan Helikopter APMM terhempas ketika lakukan latihan menyelamat di Pulau Angsa

Helikopter APMM terhempas ketika lakukan latihan menyelamat di Pulau Angsa

by Nurulhuda

SELANGOR, 5 Mac – Sebuah helikopter milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) terhempas di kawasan perairan Pulau Angsa di Kuala Selangor, pagi tadi.

Ketua Pengarah APMM, Laksamana (M) Datuk Hamid Mohd Amin berkata, helikopter jenis Agustawestlan AW139 itu melakukan pendaratan cemas ketika melaksanakan latihan menyelamat di perairan Klang pada jam 9.55 pagi.

Menurutnya, maklumat awal diterima menerusi panggilan MERS 999 oleh pemancing yang berada di sekitar lokasi kejadian.

“Serentak dengan itu, Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) telah diaktifkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Maritime Rescue Coordination Centre (MRCC) Putrajaya pada jam 10:15 pagi tadi,

“Bot pemancing yang berada di lokasi berkenaan telah memberi bantuan awal kepada kru yang terbabit dan 10 anggota Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) dan KM BAGAN DATUK juga diatur gerak ke lokasi bagi melakukan kawalan keselamatan di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ketika kejadian, pesawat berkenaan diterbangkan oleh Leftenan Komander (M) Tengku Mohd Nizam Tengku Zakaria; Leftenan Komander (M) Mohamad Azrol Saidi bersama seorang kru udara Pegawai Waran I (M) John Ibno dan seorang Perenang Penyelamat, Bintara (M) Muhamad Nurhayyat Hashim.

Bagaimanapun, kesemua 4 penumpang termasuk juruterbang helikopter itu telah diselamatkan oleh pesawat AS 365 N3 Dauphine APMM.

Dalam masa yang sama, beliau juga menjelaskan, APMM akan melakukan siasatan lanjut untuk mengenalpasti punca-punca kejadian.

“APMM juga mengucapkan terima kasih atas maklumat dan tindakan pantas daripada komuniti maritim yang membantu CARILAMAT kejadian ini,

“Operasi CARILAMAT telah ditamatkan oleh CAAM pada jam 11:15 pagi sebentar tadi,” jelasnya lagi. -airtimes.my

#APMM #keselamatan #terhempas #helikoter #airtimes

Related Articles

Leave a Reply