Home Pertahanan dan Keselamatan Arus deras, dasar laut berlumpur sukarkan pencaraian kotak hitam helikopter AW139

Arus deras, dasar laut berlumpur sukarkan pencaraian kotak hitam helikopter AW139

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 28 Mac – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berdepan kesukaran dalam misi mengesan kotak hitam helikopter jenis AW139 yang melakukan pendaratan cemas di Pulau Angsa pada 5 Mac lalu, disebabkan keadaan semasa di lokasi kejadian.

Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata, ia kerana 21 orang penyelam agensi itu yang terbabit dalam pencarian memaklumkan, keadaan arus deras di dasar laut, selain jarak penglihatan dalam air terhad akibat dasar laut yang berlumpur.

Menurutnya, pencarian yang memasuki fasa kedua memfokuskan keluasan lokasi kotak hitam antara 50 sehingga 100 meter radius berpandukan signal daripada ‘pinger’.

“Berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada Pusat Hidrografi Nasional (PHN) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), kotak hitam berkenaan dipercayai berada di sekitar 700-800 meter dari kawasan pendaratan cemas helikopter tersebut,

“Walau bagaimanapun pihak APMM positif akan menjumpai kotak hitam berkenaan dalam masa terdekat berdasarkan kedudukan terkini kotak tersebut dikesan,” jelasnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, selain penyelam penyelamat APMM, misi pencarian ini turut melibatkan kru sonar PHN TLDM, Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) dan pihak penyedia perkhidmatan pesawat Maritim Malaysia iaitu Galaxy (M) Sdn Bhd.

Fasa pertama pencarian kotak hitam pesawat berkenaan telah dilaksanakan bermula 6 Mac hingga 24 Mac lalu dengan lokasi tumpuan adalah di sekitar 1 kilometer radius di kawasan helikopter terbabit melakukan pendaratan cemas.

Sebelum ini, Air Times melaporkan sebuah helikopter jenis AW 139 dengan nombor pendaftaran M72-01 itu melakukan pendaratan cemas ketika melakukan aktiviti latihan menyelamat di perairan berkenaan.

Bagaimanapun, kesemua mangsa iaitu Leftenan Komander Maritim, Tengku Mohd Nizam Tengku Zakaria, Leftenan Komander Maritim Mohamad Azrol Saidi bersama seorang kru udara Pegawai Waran I Maritim John Ibno dan seorang Perenang Penyelamat, Bintara Maritim Muhamad Nurhayyat Hashim dilaporkan selamat.

Helikopter itu kemudiannya dibawa naik kira-kira pukul 12.15 tengah malam hari sama sebelum dibawa ke Stesen Udara Maritim Subang (SUMS) untuk tindakan selanjutnya.-airtimes.my

#airtimes #APMM #kotakhitam #Malaysia #pesawatterhempas

Related Articles

Leave a Reply