Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut Nahas helikopter Lumut: Proses bedah siasat 10 mangsa selesai – TLDM

Nahas helikopter Lumut: Proses bedah siasat 10 mangsa selesai – TLDM

by Nurulhuda

IPOH, 24 Apr – Proses bedah siasat ke atas 10 mangsa nahas helikopter terhempas di Lumut yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) selesai pada jam 2.20 petang Rabu.

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam satu kenyataan memaklumkan, jenazah mangsa beragama Islam akan dibawa ke Kem Batalion Ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Ipoh untuk solat jenazah.

Sementara itu, mayat mendiang Leftenan T Sivasutan TLDM pula dibawa pulang ke kediaman keluarga di Sitiawan, Perak sebelum disemadikan pada Khamis.

Manakala, mayat mendiang Laskar Kanan JJM Joanna Felicia Rohna pula akan dibawa pulang ke Serian, Sarawak menggunakan pesawat C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Pihak pengurusan tertinggi TLDM yang dilantik telah menghubungi waris mangsa melalui unit masing-masing tentang kejadian ini,

“TLDM akan terus memberi sokongan dari segi bantuan pengurusan jenazah dan sebarang keperluan daripada pihak waris sebaik mungkin,

“Penghormatan terakhir buat semua wira TLDM yang terkorban akan dilaksanakan mengikut tradisi TLDM di setiap lokasi pengebumian yang dipersetujui waris,” jelas TLDM lagi.

Dalam kejadian 9.32 pagi Selasa, Helikopter Operasi Maritim HOM (M503-3) dan Fennec (M502-6) masing-masing dilaporkan berlanggar antara satu sama lain di ruang udara sebelum terhempas di Pangkalan TLDM Lumut serta mengorbankan 10 mangsa. -airtimes.my

Penghormatan terakhir buat semua mereka akan dilaksanakan mengikut tradisi TLDM di setiap lokasi pengebumian yang dipersetujui waris.

#pertahanan #TLDM #Lumut #Fennec #AW139 #airtimes

Related Articles

Leave a Reply