Home Pertahanan dan Keselamatan Kerajaan salur RM10,000 untuk waris pegawai, anggota terbabit nahas di Lumut

Kerajaan salur RM10,000 untuk waris pegawai, anggota terbabit nahas di Lumut

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 24 Apr – Kerajaan hari ini bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000.00 kepada setiap keluarga mangsa nahas 2 buah helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terhempas di Pangkalan TLDM Lumut, pada Selasa.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia sebagai meringankan beban ditanggung keluarga mangsa.

Menurutnya, Kementerian Pertahanan (MINDEF) juga telah menubuhkan Tabung Khas bagi memudah orang ramai untuk turut menghulurkan sumbangan kewangan kepada keluarga
mangsa.

“Mesyuarat Jemaah Menteri merakamkan ucapan takziah kepada waris-waris pegawai dan anggota TLDM atas tragedi yang menimpa di Pangkalan TLDM Lumut,

“Kerajaan turut menzahirkan rasa simpati atas kehilangan sepuluh wira-wira negara yang mencurah bakti sehingga ke akhir hayat mereka,

“Sebagai meringankan beban yang ditanggung, Kerajaan bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000.00 kepada setiap keluarga,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, segala kos perjalanan terakhir yang meliputi penerbangan ihsan dan pengurusan jenazah ditanggung sepenuhnya oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Dalam kenyataan yang sama, beliau berkata, Lembaga Siasatan (Board of Inquiry) yang ditubuhkan telah diarah untuk menyerahkan laporan awal dalam tempoh 14 hari bekerja dan laporan penuh dalam tempoh 30 hari bekerja.

Semalam, dalam kejadian 9.32 pagi, Helikopter Operasi Maritim HOM (M503-3) dan Fennec (M502-6) masing-masing dilaporkan berlanggar antara satu sama lain di ruang udara sebelum terhempas di Pangkalan TLDM Lumut serta mengorbankan 10 mangsa. -airtimes.my

#pertahanan #airtimes #lumut #pesawat #TLDM

Related Articles

Leave a Reply