Home SemasaBenar kapal Israel berlabuh di Malaysia sebab percaya usaha damai – Tun M

Benar kapal Israel berlabuh di Malaysia sebab percaya usaha damai – Tun M

by Nurulhuda
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 21 Dis – Tun Dr Mahathir Mohamad menyokong tindakan kerajaan menyekat syarikat perkapalan Israel ZIM daripada berlabuh di pelabuhan negara ini.

Menerusi satu hantaran yang dimuat naik dalam laman Facebooknya, beliau menyifatkan tindakan Malaysia itu sebagai tanda protes yang jelas terhadap tindakan tidak berperikemanusiaan Israel terhadap penduduk Palestin.

“Kita sokong tindakan Kerajaan Malaysia sekat Syarikat perkapalan Israel ZIM dari berlabuh di pelabuhan Malaysia,

“Ini kerana tindakan melampau dan tiada perikemanusiaan Israel terhadap penduduk Palestin perlu dikeji dan apa-apa tindakan protes yang boleh dilakukan harus diambil,” katanya.

Dalam pada itu, bekas Perdana Menteri itu turut menjelaskan mengapa keputusan kerajaan ketika pemerintahannya memberi kebenaran kepada kapal ZIM berlabuh pada 2002.

“Perlu dijelaskan bahawa Kerajaan pada tahun 2002 membenarkan ZIM berlabuh kerana ketika itu Malaysia masih menaruh harapan kepada usaha damai antara Palestin dan Israel.

“Kerajaan ketika itu pernah membenar pasukan kriket Israel dengan harapan rakyatnya dapat melihat bahawa penduduk Malaysia yang majoriti beragama Islam boleh hidup bersama rakyat beragama lain,

“Malangnya segala usaha itu jelas sia-sia kerana Israel selepas itu terus memperlihat sifat kebinatangannya dan terus membunuh rakyat Palestin,” ujarnya lagi.

Tegasnya, kebenaran itu hanya sekadar memberi laluan kepada kapal terbabit tanpa memperlihatkan sebarang sokongan kepada regim Israel dan tindakannya yang membunuh rakyat Palestin.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan memutuskan, untuk menyekat dan tidak membenarkan syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel, ZIM daripada berlabuh di mana-mana pelabuhan di negara ini.

Jelasnya, sekatan ini adalah tindak balas terhadap tindakan Israel yang mengenepikan prinsip asas kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa di Palestin. -airtimes.my

#semasa #Malaysia #Palestin #airtimes #TunM

Related Articles

Leave a Reply