Home Semasa Kerajaan sekat operasi perkapalan Israel di pelabuhan Malaysia

Kerajaan sekat operasi perkapalan Israel di pelabuhan Malaysia

by M.Daim

PUTRAJAYA, 20 DIS –  Kerajaan Malaysia hari ini memutuskan untuk menyekat dan tidak membenarkan syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel, ZIM daripada berlabuh di mana-mana pelabuhan di negara ini.

Sekatan ini adalah tindak balas terhadap tindakan Israel yang mengenepikan prinsip asas kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa di Palestin.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini.

Menurut beliau, Kementerian Pengangkutan akan mengambil tindakan segera dengan mengenakan larangan kekal terhadap syarikat ini berkuat kuasa serta merta.

“Selain itu, kerajaan juga mengenakan larangan kepada mana-mana kapal yang dalam perjalanan menuju ke Israel daripada memuatkan kargo di pelabuhan Malaysia,

“Kedua-dua sekatan ini berkuatkuasa serta-merta. Malaysia yakin keputusan tersebut tidak akan menjejaskan kegiatan perdagangan negara,” katanya.

Anwar Ibrahim menyatakan, operasi ZIM di negara ini bermula dengan keputusan Kabinet pada tahun 2002 yang mula membenarkan kapal milik syarikat ini berlabuh di Malaysia. Pada 2005, Kabinet ketika itu memberi kebenaran kepada kapal tersebut untuk mendarat di Malaysia.

“Kerajaan hari ini memutuskan untuk membatalkan semua keputusan Kabinet lalu.

“Pada masa yang sama, Kerajaan Malaysia turut memutuskan untuk tidak lagi menerima kapal yang menggunakan bendera Israel untuk berlabuh di negara ini,” kata kenyataan itu. – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #Semasa

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!